Tunggul kayu

Sebatang tunggul kayu tidak bernilai apabila dibiarkan terdampar di tengah padang, dipanah mentari terik, disirami hujan yang membasahi bumi. Tunggul kayu yang sama amat indah, tinggi nilai keseniannya dan mempersonakan mata memandang apabila dijadikan tiang rumah, ditambah seri lagi dengan cat kilat, diukir awan larat. Harganya bertambah berlipat kali ganda kalau dibandingkan ketika terbiar begitu sahaja. Begitulah kehidupan seorang manusia. Dia tidak dihiraukan oleh masyarakat apabila bakat dan  kebolehannya tidak digilap dan diasuh supaya mampu menyumbang kepada Islam dan masyarakat. Ramai dalam kalangan anggota masyarakat yang mempunyai kemampuan dan kebolehan yang tidak terfikir oleh kita sebelum ini. Namun yang menjadi persoalan ialah ke mana perginya sang pemungut kayu yang boleh menukarkannya menjadi bahan yang berharga. Kita kekurangan sang pemungut kayu.



Bangsa Arab Badwi sebelum kedatangan Islam adalah tunggul kayu yang terbiar. Mereka tebal dengan sifat permusuhan, membunuh anak perempuan, berjudi, minum arak dan lain-lain lagi sifat keji. Islam menukar Musab Ibn Umair dari seorang anak manja dilimpahi harta kekayaan melimpah ruah kepada seorang pendakwah yang berjaya menukar sosial geografi Yathrib (Madinah) sehingga menjadi sebuah negara Islam yang pertama di dunia. Sehingga saat kematiannya tiada kain yang mampu  menyelimut kakinya.

Islam menukar Saad Ibn Abi Waqqas, seorang pemuda pembuat panah di Makkah yang kering kontang kepada seorang panglima perang terbilang yang melumpuhkan kekuatan tentera Parsi dan melenyapkan kuasa besar itu dari peta dunia. Keadaan yang sama berlaku kepada bangsa Melayu yang tidak dikenali sebelum kedatangan Islam, tetapi menjadi salah satu kuasa besar di Nusantara setelah memeluk dan menghayati Islam sebenar-benarnya.

Mengembalikan semula kegemilangan umat Islam adalah tanggungjawab semua, mengikut kadar kemampuan masing-masing. Mengutip, memilih dan mendidik anasir-anasir yang baik dalam masyarakat adalah tugas pendakwah yang faham akan peranannya. Sehingga Nabi S.A.W. mengakui inilah jalannya dan mereka yang mengikutnya, sebagaimana yang dinukilkan dalam Al-Quran. Tanpa melaksanakan peranan tersebut Islam terus kekal dagang dan asing di bumi Allah S.W.T.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian