Kesungguhan Muhammad Al-Fateh menjadi inspirasi peserta KREDIT ‘12


SETIU, 20 Oktober - Dalam Kem Rehlah Daie ISMA Terengganu 2012 (KREDIT ’12) yang julung kali diadakan pada hujung minggu lepas, Sdr. Nasrul Muhaimin M. Taib membangkitkan semangat para peserta dengan pembentangan slot terakhir yang bertajuk Pembukaan Konstantinopel. Beliau yang juga merupakan Pengerusi PEMBINA Terengganu membentangkan kepada peserta sejarah pembukaan Konstantinopel yang bermula dari bumi Madinah lagi apabila Rasulullah S.A.W. menjanjikan pembukaan kota tersebut daripada sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera semasa perang Khandaq.

Program yang bermula Khamis malam, 18 Oktober 2012 dan berakhir pada hari Sabtu tengahari, 20 Oktober 2012 ini berjaya menghimpunkan seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada ahli PEMBINA dan juga ISMA Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu. Program yang berlangsung di Pandan Laut Beach Resort, Setiu ini disusur galurkan dengan aktiviti permainan yang mengeratkan ukhuwwah di antara peserta serta pengisian slot pembentangan dan tazkirah yang mengisi fikrah peserta sesuai dengan tema program ini iaitu ukhuwwah dijalin, fikrah dipimpin. 

Suasana hujan yang mula dialami di Terengganu khususnya pada hujung tahun jelas tidak melunturkan semangat peserta untuk melibatkan diri dengan setiap aktiviti yang telah dijalankan. Pelbagai aktiviti pantai yang telah disusun penganjur dihangatkan dengan persaingan ang hebat di antara empat kumpulan peserta iaitu Al-Fateh, Al-Banna, Syabab dan Salman Al-Farisi. Kebersamaan peserta di dalam program ini bukan sahaja sekadar bersaing di dalam permainan, bahkan pengalaman solat Asar berjemaah bersama di tepi pantai dan membaca zikir ma’tsurat sambil diiringi deruan ombak ketika duduk bersama di gigian pantai pasti terpahat dalam memori setiap peserta yang hadir.

Selain daripada aktviti permainan yang menguji kelasakan fizikal, peserta juga dicungkil bakat dan kreativiti pada malam seni. Pelbagai keletah dan aksi dapat dilihat secara spontan dan bersahaja mengikut tema ukhuwwah tentunya menghilangkan rasa penat bermain pada siang harinya. Lakonan berkesan dan persembahan nasyid yang berjaya menambat hati juri akhirnya melayakkan kumpulan Syabab diangkat selaku juara persembahan malam seni tersebut. Ia juga turut diserikan dengan penampilan khas kem komandan iaitu Ustaz Mohammad Sirojul Afkar yang telah mendendangkan dua buah nasyid arab secara solo.

KREDIT ’12 akhirnya melabuhkan tirainya pada jam 2.00 petang usai makan dan solat berjemaah. Rata-rata peserta memberikan komen yang membina dan berharap agar ia dapat dijalankan dengan lebih mencabar lagi pada masa-masa akan datang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?