Cara-cara khusyu' dalam solat
KUALA TERENGGANU, 26 November - Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyu' solatnya adalah dikira sia-sia kerana tujuan solat itu adalah untuk mengingati Allah S.W.T. dan ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
YDP ISMA Kuala Terengganu, Dr. Razali Musa berkata, apabila seseorang itu lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Jelas beliau, perkara ini merupakan perkara asas yang sangat penting untuk dilaksanakan dan dihayati oleh setiap umat islam kerana itu merupakan kunci kekuatan dan bukti ketaqwaan kita kepada Yang Maha Pencipta.
Ketika mengulas kitab Al-Mustakhlas Fi Tazkiyah An-Nufus, beliau menghuraikan secara mendalam berkenaan cara-cara untuk khusyu' dalam solat. Menurut Imam Al-Ghazali, untuk menghadirkan khusyu' di dalam solat, terdapat enam perkara yang perlu kita lakukan semasa mengerjakan solat;
Pertama; Hudhur al-qalbi iaitu menghadirkan hati kita ketika menunaikan solat iaitu dengan membuang dari hati segala yang tidak ada kena-mengena dengan solat kita.
Kedua; At-tafahhum iaitu berusaha memahami iaitu melakukan usaha untuk memahami segala perkara yang dilakukan di dalam solat sama ada perbuatan atau yang dibaca/diucapkan.
Ketiga; At-ta’ziem iaitu merasai kebesaran Allah iaitu dengan merasai diri terlalu kerdil di hadapan Allah.
Keempat; Al-haibah iaitu merasa gerun terhadap keagungan Allah dan siksaan-Nya.
Kelima; Ar-raja’ iaitu sentiasa menaruh harapan besar kepada Allah mudah-mudahan solat yang dikerjakan akan diterima dan diganjari oleh Allah.
Keenam; Al-haya’ iaitu merasa malu terhadap Allah di atas segala kekurangan dan kecacatan yang terdapat di dalam solat.
Hadits Tsulatsa' ISMA Kuala Terengganu ini diadakan selepas solat Maghrib setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.
Ulasan
Catat Ulasan