Kemantapan Iman asas pembentukan umat Islam cemerlang


KUALA TERENGGANU, 12 November - "Umum mengetahui masyarakat Arab jahiliyah suatu ketika dahulu merupakan sebuah masyarakat yang sangat tidak bermoral. Berjudi, berzina dan meminum arak merupakan amalan yang telah ‘mendarah daging’ di dalam masyarakat. Seseorang lelaki yang meminum arak sehingga mabuk, dianggap seolah-olah telah sempurna menjadi lelaki. Wanita pula dipandang rendah dan hina sehingga ada di antara mereka yang menanam bayi perempuan sejurus selepas lahir kerana beranggapan anak perempuan akan menjatuhkan maruah keluarga. Namun, datangnya Rasulullah S.A.W. membawa perubahan yang begitu menakjubkan sehingga masyarakat Arab yang tidak bertamadun itu akhirnya mampu menawan dua pertiga dunia. Apakah rahsia yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. sehingga melahirkan umat yang sebegitu hebat? Asasnya tidak lain dan tidak bukan kerana aqidah dan iman yang tinggi kepada Allah S.W.T.," ulas Ustaz Engku Omar Amiruddin Engku Ali, ketika mengupas buku, "Ciri-ciri Masyarakat Islam yang Kita Idamkan" karangan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi.

Ustaz Engku Omar menyambung, pentingnya aqidah kepada manusia kerana ia berkait langsung dengan permulaan dan kesudahan hidup seseorang insan. Kerana Iman, seorang manusia boleh sengsara ataupun bahagia selama-lamanya. Agama Islam hanya satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah (surah Ali ‘Imran: 19), maka amalan kebaikan manusia yang tidak beriman hanyalah sia-sia. (surah Muhammad: 1-2 ). Persoalan akan timbul, mengapa Allah S.W.T. tidak mengiktiraf amalan baik yang dilakukan oleh orang yang tidak beriman, bahkan bakal mengundang azab Allah dan akan dicampakkan ke dalam neraka di akhirat kelak jika berterusan di dalam keadaan kufur?

Hal tersebut diterangkan oleh beliau melalui anologi mengenai seseorang yang ingin melakukan sesuatu pekerjaan di sesebuah institusi awam mahupun swasta, terlebih dahulu perlu diiktiraf dan diterima sebagai pekerja sebelum dibenarkan melakukan pekerjaan tersebut dan diberi gaji. Seumpama seorang yang tidak diiktiraf dan dilantik terus melakukan tugasan sebagai polis trafik tentu sahaja tidak akan diiktiraf oleh Polis DiRaja Malaysia untuk diberi gaji, bahkan mungkin diambil tindakan kerana ‘menyamar’ sebagai seorang anggota polis. Secara relatifnya, begitu juga perihal seorang manusia yang tidak mengucap kalimah syahadah, tidak akan diiktiraf sebagaimana seorang muslim yang layak menerima ganjaran pahala terhadap amal solehnya dan juga layak untuk menempah tiket ke syurga Allah S.W.T. dan terlepas daripada kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Namun begitu, di sisi yang lain pula, ironinya, tangan yang melakukan kejahatan adalah tangan yang sama bertasyahud kepada Allah di dalam solatnya. Perut yang lapar berpuasa, adalah perut yang sama menelan makanan dan minuman yang haram. Tangan yang menghulur zakat adalah tangan yang sama merampas hak orang lain, ujar beliau lagi ketika menukilkan semula kata-kata Dr. Razali Musa di dalam siri kuliah Hadits Tsulatsa’ yang lepas. Justeru umat Islam perlu sedar, iman yang diwarisi daripada orang tua atau Iman tanpa kefahaman yang baik tidak mampu melahirkan masyarakat Islam yang dikehendaki Allah, tegas Ustaz Engku Omar.

Beliau juga mengingatkan, jika ditelusuri dari awal usaha dakwah di Makkah, Rasulullah S.A.W. sangat menekankan soal keimanan kepada Allah, bahkan banyak ayat-ayat Al-Quran diturunkan ketika itu membicarakan soal aqidah sehinggakan para sahabat dapat merasakan Syurga dan neraka berada seolah-olah di hadapan mata mereka sendiri. Pembesar-pembesar, para hakim, majikan, pekerja mahupun sesiapa sahaja sudah tentu merasa takut melakukan kejahatan dan terdorong melakukan kebaikan kerana neraka dan Syurga ‘terpampang’ di depan mata mereka sendiri.

Justeru itu, mahu ataupun tidak, umat Islam wajib mencari kefahaman yang benar dan membina keimanan yang kukuh kepada Allah S.W.T. supaya masyarakat Islam yang kita dambakan akan menjadi satu realiti dan bukan lagi angan-angan. 

Hadits Tsulatsa` ISMA Kuala Terengganu ini diadakan selepas solat Maghrib setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?