Peranan muslimah dalam masyarakat Islam
![]() |
Gambar hiasan - Festival Beliawanis anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) |
Wanita juga berperanan membimbing sesama wanita. Walaupun wanita memikul tanggungjawab yang besar dalam keluarga, namun beliau juga pasti mampu untuk memikul tugas dakwahnya kerana Allah Yang Maha Mengetahui tidak akan membebani hamba-Nya di luar kemampuan mereka.
Seorang muslimah itu mesti memiliki pemahaman yang jernih mengenai Islam. Dia wajib meyakini bahawa Islam adalah rahmatan lil ’alamin dengan tertegaknya seluruh hukum Islam dan tidak boleh meragui bahawa Islam wajib ditegakkan dalam kehidupan sebagai satu-satunya penyelesaian. Muslimah perlu menyedari bahawa tertegaknya Islam bergantung kepada perjuangan pemeluknya termasuklah kaum wanita yang jumlahnya separuh daripada penduduk manusia. Seorang muslimah perlu memahami bahawa beliau merupakan asas kepada tiang negara dan sebahagian daripada ahli masyarakat. Masyarakat Islam tidak mungkin akan terbina dan negara Islam tidak akan tertegak jika wanitanya tidak memahami Islam, tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan, tidak berdakwah ke jalan Islam, tidak melahirkan generasi pejuang Islam dan tidak menyokong suaminya yang berjuang menerapkan Islam.
Pemahaman tadi perlu digabungkan dengan gambaran yang jelas tentang apa yang mesti dilakukan supaya pemahaman itu tidak terhenti hanya sebagai satu pengetahuan tetapi ianya dipraktikkan dalam kehidupan. Seandainya perkara ini tidak diwujudkan, adalah tidak mustahil jika terdapat segolongan muslimah yang merasa tertekan dengan beban dakwah yang dipikulnya, justeru menghadkan kewajipannya terhadap rumahtangga sahaja. Memang benar, tanggungjawab dakwah itu berat. Namun, alangkah beratnya siksaan di akhirat bagi mereka yang meninggalkan dakwah dan betapa besar malapetaka yang akan menimpa manusia seandainya kaum hawa sebagai ibu yang mendidik umat manusia, mengabaikan dakwah.
Wanita adalah sebagai sayap kiri masyarakat dalam mewujudkan masyarakat Islam bersama-sama golongan lelaki. Wanita mempunyai peranan yang sama dengan lelaki dalam usaha menegakkan Islam. Wanita adalah saudara lelaki. Begitulah ungkapan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tentang wanita seperti yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari. Pernyataan seperti ini banyak ditemui dalam sirah dakwah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kaum muslimin tidak akan lupa bahawa orang yang pertama mengimani Muhammad ibnu Abdullah sebagai Nabi dan Rasul adalah seorang wanita yang dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagai isterinya, Saidatina Khadijah. Beliaulah yang membantu Rasullullah berdakwah, membelanya, mengeluarkan harta bendanya bagi dakwah dan sangat mencintai suaminya di saat ramai orang memperlekehkan dan membencinya. Beliaulah yang berada di sisi Rasullullah dan menyokong dakwah Nabi dengan setia tanpa henti sehingga akhir hayatnya tiga tahun sebelum hijrah. Suatu ketika Nabi mengenang wanita yang sangat dicintainya, “Demi Allah, tiada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman ketika semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua pihak mendustakan, yang mengorbankan hartanya ketika semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapat keturunan.” Inilah srikandi muslimah pertama.
Di Mekah dan Madinah bukan hanya kaum lelaki yang berdakwah tetapi juga wanita. Saudah binti Zam’ah, setelah memeluk Islam, dia segera mendakwahi keluarganya sehinggakan suaminya memeluk Islam. Keduanya saling menyokong untuk berhijrah ke Habsyah dan sehinggakan demi dakwah, suaminya menghembuskan nafas terakhir di negeri Najasyi itu. Akhirnya, sekembalinya ke Mekah Allah Subhanahu wa Taala menetapkannya sebagai isteri Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam.
Ummu ’Ammar (isteri Yasir, ibu kepada ’Ammar bin Yasir) adalah orang pertama yang terbunuh fi sabilillah demi Islam dan kemudian diikuti oleh suaminya. Demikian pula Fatimah binti Al-Khathab yang ditemani oleh suaminya untuk berbincang dengan abangnya, Umar bin Al-Khathab yang berakhir dengan pengislaman Umar.
Sewaktu pasukan Nabi menuju ke Khaibar, Ummu Sinaan menghadap baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam meminta untuk turut serta dalam pasukan bagi tugas menjaga keperluan minuman, merawat orang sakit dan luka serta mengurusi bekalan makanan. Permintaan tersebut dipersetujui oleh Rasulullah dengan mengatakan, "Pergilah dengan mendapat rahmat dari Allah."
Terdapat banyak contoh peranan wanita muslimah ketika zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam bidang yang berisiko tinggi. Asma binti Abu Bakar bertugas menghantar makanan untuk ayahnya (Abu Bakar) dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang sedang bersembunyi di Gua Tsur dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Tugas ini sangat berbahaya, kerana apabila orang Quraisy mengetahui tindakannya, bukan hanya dia yang akan mendapat kesusahan tetapi nyawa ayahnya dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam akan terancam. Asma’ merupakan seorang yang cerdik, dia berjalan menuju ke bukit itu sambil mengembala kambing. Beliau berjalan di depan dan kambing-kambingnya berjalan di belakang. Akhirnya, Rasullullah dan Abu Bakar berjaya memboloskan diri menuju ke Madinah untuk terus menegakkan Islam oleh negara di Madinah.
Jelas sekali, betapa kaum wanita sepatutnya menjadi srikandi muslimah seperti para sahabiyah. Sudah tiba masanya wanita menolak kaum hawa direndahkan atau merendahkan diri sebagai pemuas nafsu, penghibur dengan lenggok yang mengghairahkan, mengeksploitasi kecantikannya dan mengabaikan kehidupan masyarakat .
Wanita sepatutnya menyedari waktu yang dimilikinya hanya 24 jam sehari sedangkan kewajipan yang mesti ditunaikan semakin menggunung. Oleh kerana itu, mereka amat menghargai waktu. Tidak mungkin baginya untuk melakukan aktiviti yang mubah (harus) apatah lagi aktiviti yang sia-sia seperti menonton drama, telenovela, berbual kosong dan sebagainya. Mereka sentiasa terikat dengan hukum syara’ baik dalam perbuatan mahupun perkataan. Halal dan haram menjadi panduan dan mengutamakan kewajipan. Bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah yang memuji Allah Subhanahu wa Taala. Sejadah sentiasa terhampar untuk bersujud dan rumahnya selalu dipenuhi dengan bacaan Al-Quran beserta kajian isinya. Dia tidak takut dengan celaan dan ancaman sesiapapun yang membenci Islam kerana janji Allah Subhanahu wa Taala sentiasa tersemat di hati dan menjadi pendorong kepadanya. "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad: 7) Tegaknya Islam di muka bumi ini menjadi cita-citanya dan redha Allah merupakan harapannya.

Ustazah Fauziah Ibrahim
Ketua Wanita ISMA Kuala Terengganu
Ulasan
Catat Ulasan