Tuntutan COMANGO bakal memporak-perandakan negara – Timb Presiden ISMA
BANGI, 11 Oktober – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tuntutan yang dibuat oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) melalui Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) yang jelas akan memporak-perandakan negara.
Tuntutan-tuntutan yang terkandung dalam laporan COMANGO akan mengakibatkan kedaulatan agama Islam akan terhakis dan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang liberal yang jauh daripada pedoman agama Islam.
“Kita mengutuk dan menentang tuntutan-tuntutan COMANGO kerana ia bakal memporak-perandakan negara. Negara kita akan menjadi negara yang liberal, iaitu rakyat bebas melakukan apa saja termasuk yang bertentangan dengan ajaran Islam tanpa ada tindakan yang boleh diambil,” tegas Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menjelang tarikh 24 Oktober ini yang merupakan hari semakan berpenggal (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.
Sebelum ini, gabungan NGO liberal yang dianggotai lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan yang pro barat seperti SUARAM dan Majlis Peguam telah menyediakan satu laporan berkaitan hak asasi manusia di negara ini yang akan dibentangkan dan dibincangkan pada 24 oktober nanti.
Kandungan laporan itu antara lain melaporkan kebebasan beragama yang ketat diamalkan di negara ini apabila orang Islam dilarang untuk murtad dan penganut agama lain tidak boleh mengajak orang Islam meninggalkan agama Islam.
Justeru laporan COMANGO ini menuntut majlis PBB dan masyarakat antarabangsa mendesak kerajaan Malaysia agar memberikan hak kepada orang Islam untuk murtad atas dasar kebebasan beragama.
Selain itu, laporan itu juga menyebut bahawa golongan minoriti seperti kumpulan sesat Syiah dan golongan LGBT tidak mendapat layanan sebaiknya dalam masyarakat dan laporan itu mendesak agar Syiah dan LGBT diberikan hak kebebasan mengamalkan budaya sesat dan songsang itu.
Tuan Haji Aminuddin berkata, sekiranya tuntutan seperti ini dipenuhi maka negara akan mengundang bala daripada Allah disebabkan maksiat yang akan berleluasa.
“Oleh itu ISMA menyeru rakyat bangun menentang tuntutan kotor dan jijik ini. ISMA juga mendesak kerajaan supaya menggunakan kuasanya untuk menolak COMANGO,” kata beliau.
Beliau juga meminta kerajaan bertegas dengan gabungan NGO liberal ini dan menyiasat latar belakang dan sumber kewangan mereka.
“Adalah lebih baik kerajaan menyiasat siapa mereka yang sebenar, benarkah mereka berdaftar dengan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Tidak mustahil ada negara juga akan mengundang bala dari Allah jika tuntutan ini dipenuhi,” kata beliau.
Pertubuhan lain yang terlibat dalam gabungan NGO liberal ini ialah Women’s Aid Organisation (WAO), Dignity International, Sisters in Islam (SIS), ERA Consumer, Pusat Komas, Centre for Independent Journalism (CIJ), dan Coalition to Abolish Modern-day Slavery in Asia (CAMSA).
Dalam perkembangan berkaitan, ISMA dengan kerjasama YADIM akan mengadakan Seminar Ancaman Liberalisme yang akan menerangkan lebih lanjut tentang tuntutan COMANGO.
Ia akan diadakan pada 19 Oktober di Dewan Memorial Tuan Abdul Razak bermula jam 8.30 pagi sehingga 1 tengahari.
Ulasan
Catat Ulasan