Ibu bapa perlu bijak tangani ancaman teknologi dalam rumah
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – “Ibu bapa seharusnya ambil tahu tentang IT, lebih-lebih lagi media sosial. Jangan takut untuk mempelajari IT agar jurang dengan anak-anak dapat dieratkan.”
Begitulah saranan Dato’ Prof. Badrulhisham, mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, merangkap Ahli Syura ISMA dan Ketua Kajian Strategik ISMA Pusat.
Beliau menegaskan tentang keperluan dan kepentingan setiap ibu bapa untuk mempunyai akaun Facebook dan media sosial lain yang berkaitan.
“Tidak perlu menjadi ‘expert’ atau canggih dalam menggunakan media sosial. Sebaliknya cukup sekadar untuk memantau perkembangan anak-anak agar mereka tidak terjerumus kepada perkara-perkara yang tidak diingini,” ujar beliau lagi selaku panelis forum Sembang-sembang.com: Facebook, Blog & Twitter dalam seminar Ibu bapa Soleh Anak Cemerlang (ISAC) di Dewan Utama Politeknik Kuala Terengganu.
ISAC 2013 kali ini mengetengahkan media sosial sebagai tema perbincangan forum memandangkan pada hari ini sudah menjadi kebiasaan untuk kanak-kanak mahupun remaja mempunyai akaun Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.
Forum ini turut menampilkan Datin Nurzaimeen sebagai panelis kedua. Datin Nurzaimeen merupakan isteri kepada Dato’ Prof Badrulhisham, ibu kepada 7 orang anak, seorang suri rumah dan juga Ketua Unit Kajian ISMA Pusat.
Dalam ucapannya, Datin Nurzaimeen menegaskan gajet atau bahan teknologi bukanlah penyelesaian masalah untuk ibu bapa. Anak-anak kecil tidak wajar diberi gajet untuk mendiamkan mereka atau dijadikan umpan agar urusan harian ibu bapa tidak diganggu anak-anak. Sebaliknya ibu bapa mestilah turut sama bermain dengan anak-anak dan memberikan perhatian sepenuhnya agar masa yang diluangkan untuk anak-anak lebih berkualiti. Hal ini dapat membantu anak-anak membesar dengan lebih sihat di samping merapatkan lagi hubungan ibu bapa dan anak-anak.
ISAC 2013 dianjurkan oleh ISMA Kuala Terengganu dengan kerjasama Wanita ISMA cawangan Kuala Terengganu dan Politeknik Kuala Terengganu.
Ulasan
Catat Ulasan