Adakah kita memiliki ‘Izzah’ atau jati diri sebagai Muslim?
Ketika seorang wanita Islam dijadikan tawanan oleh tentera Rom.
Dia menjerit meminta pertolongan dengan menjerit:
“Wa Muktasamah!” “Wahai Muktasim, tolong aku!”
Ketika berita ini sampai kepada Khalifah Muktasim, beliau terus bangun dan menyahut jeritan wanita Islam seraya berkata:
“Labaiki! Labaiki! Aku sahut seruan kamu! Aku sahut seruan kamu!”
Dengan suara yang lantang Khalifah Muktasim menyeru:
“An-nafir! An-nafir! Semboyan jihad! Semboyan jihad!”
Tanpa berlengah beliau terus mengambil bekalan dan menunggang kudanya… bagaikan seekor singa yang menerkam musuh tanpa menghiraukan sesuatu.
Sekiranya panglima-panglima perang tidak mengejarnya nescaya Khalifah pergi bersendirian untuk menyelamat wanita Islam tersebut.
Setelah panglima-panglima perang berjaya mengejar Khalifah… mereka berkata wahai Khalifah:
“Tuanku mesti menyiapkan bala tentera untuk nenentang tentera Rom.”
Khalifah bersetuju dengan cadangan itu.
Baginda pun membuat persiapan ketenteraan untuk berperang dengan tentera Rom. Sebelum berangkat ke medan perang Baginda telah membahagikan hartanya. 1/3 untuk anak-anaknya, 1/3 untuk kedua ibu bapanya dan 1/3 lagi untuk fi sabilillah.
Beliau bersumpah tidak akan kembali sehinggalah berjaya mengalah tentera Rom dan menyelamat wanita Islam itu.
Hari ini umat Islam telah hilang identitinya. Hilang maruah dirinya. Hilang kebanggaan sebagai seorang Islam, bahkan merasa bangga mengikut budaya asing, bangga ikut cara hidup orang kafir.
Ya Allah kepada Engkaulah aku menyeru beri kesedaran kepada umat Islam bangunkan mereka daripada kelekaan…bangkitkan kembali jati diri umat Islam.
Ustaz Mohamad Ismail
Ahli Jawatankuasa Pusat
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan