Bebas judi haram bersindiket


KUALA TERENGGANU, 5 November - Terengganu bebas daripada mesin perjudian haram yang beroperasi secara bersindiket.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, kenyataan itu berdasarkan Op Dadu Khas yang dilancarkan  27 Oktober dan berakhir Ahad lalu di negeri ini yang mensasarkan aktiviti perjudian haram secara talian.

“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 124 pemeriksaan telah dibuat di premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian haram secara talian di seluruh negeri ini.

“Daripada keseluruhan pemeriksaan, sebanyak dua serbuan telah mendatangkan kejayaan yang mana kita berjaya menahan empat orang suspek dan merampas sejumlah peralatan komputer yang digunakan dalam permainan judi talian ini,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 189 keping kain rentang berkaitan iklan ‘ah long' telah diturunkan sempena operasi ‘Op Vulture’, dalam usaha menangani isu ah long atau peminjam wang tanpa lesen di negeri ini.

Jamshah berkata, sepanjang tempoh ‘Op Vulture’ dilancarkan bermula 30 Oktober lalu dan berakhir Ahad lalu, sebanyak sembilan operasi dijalankan melibatkan empat daerah termasuk Kuala Terengganu; Kemaman; Marang dan Besut

“Di Kuala Terengganu sahaja, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri telah melancarkan sebanyak empat kali operasi dan berjaya menurunkan 42 keping iklan ah long.

“Selain itu, di Kemaman, sebanyak tiga kali operasi dijalankan dan 131 keping iklan diturunkan, manakala di Marang dan Besut, hanya sekali operasi dijalankan serta berjaya menurunkan 16 keping iklan di dua daerah berkenaan," katanya.

Bagaimanapun kata Jamshah sepanjang operasi dijalankan, tiada sebarang tangkapan dibuat.

Beliau berkata demikian dalam  sidang media sempena Op Dadu Khas, Op Vulvure dan Op Ostrich Kontinjen Terengganu di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

Selain itu, Jamshah berkata, sebanyak 581 keping cakera padat digital (DVD) berjaya dirampas sepanjang operasi ‘Op Ostrich’ yang dilancarkan bertujuan menangani masalah video cakera padat (VCD) dan DVD cetak rompak di negeri ini.

“Jika di Kuala Terengganu, kita berjaya menangkap lima suspek dengan keseluruhan rampasan sebanyak 482 keping VCD, di Dungun pula seorang suspek ditangkap melibatkan rampasan sebanyak 12 keping VCD.

“Manakala di Marang melibatkan tangkapan seorang suspek dengan rampasan VCD sebanyak 87 keping dan keseluruhan suspek ditangkap seramai tujuh orang melibatkan lima lelaki Melayu; seorang lelaki Cina dan seorang perempuan Cina,” katanya.

Tegas Jamshah, operasi sebegini akan dijalankan secara berterusan dan tidak akan terhenti setakat ini kerana polis Terengganu komited dalam menangani segala bentuk perlakuan jenayah di negeri ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang aktiviti jenayah diharap dapat menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis melalui talian gerakan 09-6354743 atau melalui SMS Rakan Cop atau melalui Facebook Polis Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Jamshah berkata, pihaknya telahpun membuat persiapan rapi berdepan musim banjir termasuk persiapan dari segi sumber manusia, keselamatan dan logistik.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?