Dr. Muhammad Yusri: Asas negara Islam adalah wahyu


KUALA LUMPUR, 15 November – Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Mesir Dr. Muhammad Yusri berkata sesebuah negara Islam tidak boleh memperjuangkan fahaman sekularisme.

Ini kerana, asas sebuah negara Islam adalah berdasarkan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. sepertimana termaktub dalam al-Quran.

Menurut Dr. Yusri, negara Islam menekankan kepentingan kebebasan, keadilan dan amalan peribadi namun ia mestilah selari dan dalam batasan syariah.

“Mana-mana politik negara yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan yang tidak dilarang dalam hukum Islam, maka itu dikira negara Islam.

“Jika sesebuah negara itu tidak menjadikan Islam sebagai rujukan, maka ia bukan negara Islam,” jelasnya ketika membentangan kertas kerja bertajuk “Pandangan Kritis terhadap Negara Sivil menurut Islam” di Persidangan Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2014 pada 12 November lalu.

KEPENTINGAN RAKYAT DIUTAMAKAN

Selain itu katanya lagi, politik Islam harus mengutamakan kepentingan rakyat di samping menjaga hak syarak.

“Orang Islam yang terlibat dengan politik mesti belas kasihan, mengasihi dan prihatin dengan rakyat yang berkongsi negara.

“Mereka perlu menegakkan hukum Islam yang benar. Mereka juga perlu mengamalkan amar makruf nahi mungkar di samping memastikan rakyatnya mengamalkan tuntutan Islam,” katanya.

AMBIL TINDAKAN JIKA TUNTUTAN AGAMA DIABAIKAN

Tambah beliau ketika ditemui wartawan, adalah menjadi keperluan untuk pihak berkuasa menasihati dan mengambil tindakan terhadap orang Islam yang mengelak daripada menunaikan tuntutan agama.

Hal ini bermakna pemimpin atau pemerintah tidak boleh menggunakan hujah ayat Al-Quran ‘La ikraha fiddin’ (Tiada paksaan dalam beragama) untuk membiarkan rakyat tidak melaksanakan kewajipan dalam Islam.

“Pastikan umat Islam betul-betul mengikuti apa yang terkandung dan termaktub dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

“Menyimpang daripada Al-Quran dan As-Sunnah hanya boleh mencetuskan kepada kezaliman,” katanya.

Bagaimanapun tambah Dr. Yusri lagi, orang bukan Islam tidak akan dipaksa untuk memeluk agama Islam, malah hak mereka dalam beragama sentiasa terjamin di bawah pemerintahan negara Islam.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?