Hutan Lipur Sekayu ditutup sementara
HULU TERENGGANU, 3 November - Kawasan Hutan Lipur Air Terjun Sekayu ditutup sementara kepada orang ramai semasa operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar Tingkatan Empat yang hilang ketika menyertai perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom di sini, dua hari lepas, dijalankan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Rosli Mohd Amir berkata, kawasan Sekayu ditutup kepada awam petang tadi kerana kehadiran orang ramai yang 'cuba membantu' sebenarnya mengganggu kawasan pencarian itu.
"Kita terpaksa menutup seketika kawasan ini bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku terhadap keselamatan pengunjung yang cuba membantu," katanya
kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain itu, cuaca gelap dan hujan lebat membahayakan keselamatan pengunjung yang bermandi manda ataupun berkelah di kawasan Hutan Lipur Air Terjun Sekayu. Pusat peranginan itu akan dibuka seperti biasa selepas Ahmad Rafikin Azman, 16, dapat ditemui pihak penyelamat.
Dalam pada itu, Rosli berkata, operasi mencari pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu itu masih menemui jalan buntu.
"Sehingga petang tadi, tiada petunjuk ditemui walaupun kawasan pencarian diperluaskan dan penambahan 143 anggota penyelamat dari pelbagai agensi," katanya.
Beliau meminta orang ramai supaya menghentikan penyebaran melalui media sosial seperti WhatsAapp dan Facebook mengenai kejadian itu kerana ia mengelirukan orang ramai dan mengganggu emosi anggota keluarga mangsa. - Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan