Kepala yang “lompong” dari syariat Islam akan mencabar Islam


Jenis manusia sebegini tidak ramai sebenarnya, walaupun seorang dua sahaja namun sudah cukup memberikan kesan besar kepada Islam dan umat Islam keseluruhannya. Falsafah dan objektif syariat Islam adalah menyelamat dan mendidik umat manusia dari terjerumus ke lembah yang hina, sebab itu Islam keseluruhannya adalah sistem kehidupan bukan hanya sekadar ibadah khusus semata-mata.

Islam adalah sistem manakala manusia muslim adalah pengamal dan penegak kepada sistem tersebut. Allah S.W.T. memerintahkan solat manakala solat itu sendiri dilaksanakan oleh setiap individu muslim dan hukum kepada wajib mendirikan solat itu sendiri adalah tanggungjawab individu muslim untuk mempertahankannya. Sebarang hukum yang dikeluarkan untuk memutuskan seseorang muslim itu tidak wajib lagi bersolat, maka hendaklah ianya berasaskan pertimbangan yang diputuskan oleh syarak juga, jika tidak, maka jadilah keputusan tersebut akan mencabar Islam. Inilah yang saya maksudkan bahawa kepala yang “lompong” dari syariat Islam akan mencabar Islam.

Sehubungan dengan itu, katalah sesuatu keputusan telah diambil berdasarkan kepada penelitian dan pertimbangan syarak, misalnya keputusan tidak ada lagi kewajipan solat ke atas seseorang yang telah disahkan gila, maka hukum itu hanya untuk individu yang gila itu sahaja tidak boleh kita mengeluarkan atau membatalkan hukum kewajipan solat yang telah difardukan oleh Allah S.W.T. melalui nas al-Quran mahupun dari Hadis. Akibat daripada itu, orang yang memang malas untuk bersolat akan memegang pendapat tersebut akhirnya matlamat syariat Islam akan dipertikai dan dihina. Tidakkah keputusan yang diputuskan oleh individu yang berkuasa mengeluarkan hukum sedangkan kepalanya “lompong” dari syariat Islam akan mencabar Islam dan umat Islam itu sendiri.

Kepala yang “lompong” dari syariat Islam akan mencabar Islam juga membawa maksud kepada kesan yang menimpa umat Islam. Antara hukum syariat Islam ialah melarang lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki, Ini ditegaskan oleh Hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud “Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki”. Berdasarkan nas tersebut, sekurang-kurangnya ada dua perkara yang mesti dijaga dan dimasukkan ke dalam kepala setiap muslim:

Taat dan patuh dari sudut penghayatannya.
Jangan mencabar perintah ini apabila memutuskan sesuatu keputusan.

Ingat, setiap keputusan mesti mampu memberikan didikan. Didikan itu pula hendaklah merangkumi individu yang terlibat khususnya dan kesejahteraan masyarakat umumnya. Bukan seperti perlawanan bola sepak, pengadil yang mengadili pertandingan tersebut adalah untuk memastikan siapa menang dan siapa kalah. Pasukan yang menang akan bersorak kerana gembira, manakala yang kalah pula akan sayu dan membisu. Hukum bola sepak memang begitu, matlamatnya untuk mencari pemenang. Hukum-hakam syariat Islam bukan macam hukum bola sepak, ia adalah peraturan Allah S.W.T. untuk hamba-hamba-Nya, jangan sesekali hambaNya mencabar hukum Allah S.W.T. Setinggi manapun sijil dan kepakaran manusia, namun sekira kepalanya “lompong” dari syariat Islam akhirnya dia akan mencabar Islam itu sendiri. Apa hak seorang hamba Allah hendak membatalkan hukum Allah S.W.T. Putih macamana pun kolar bajunya, hitam berkilat macamana pun kasutnya, namun apabila ia mencabar hukum Allah S.W.T., sebenarnya dia telah mendedahkan kepada masyarakat dari pelbagai peringkat bahawa dirinya adalah jahil dan kepalanya pula “lompong” dari syariat Allah S.W.T.


Ustaz Haji Zamani bin Haji Ibrahim
Yang Dipertua
ISMA Cawangan Seremban

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?