KL Summit kumpul lebih ramai pemikir akan datang
![]() |
Dari kiri: Dr. Zaki Bani Ersyid (Setiausaha Agung KL Summit), Tun Dr. Mahathir (Pengerusi KL Summit) dan Syeikh Dr. Ali Osman Taha (Naib Pengerusi KL Summit). |
Pengerusinya Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dalam resolusi itu para peserta bersepakat menerima cadangan untuk mengumpulkan lebih ramai kumpulan pemikir, pengamal politik dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang pada seminar dan persidangan akan datang.
Katanya, usaha tersebut kelak akan diwarwarkan kepada umum melalui siaran televisyen dalam pelbagai bahasa dan juga di laman media sosial di seluruh dunia Islam.
Tambah Tun, persidangan yang akan diadakan kelak adalah satu usaha untuk menggalakkan kajian-kajian ilmiah agar lebih terpandu meliputi bidang pemikiran Islam seperti ekonomi dan kemasyarakatan.
“Pada masa itu kita akan menjemput penyertaan universiti-universiti dan pusat-pusat kajian ilmiah sebagai peserta.
“Kita akan mewujudkan laman web khas, mengadakan seminar-seminar sebagai platform menyebarkan hasil-hasil kajian.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas majlis penutupan di Pusat Konvensyen Matrade hari ini.
Tambah beliau, wanita juga akan memainkan peranan dalam menjayakan setiap persidangan dan hasil ilmiah yang akan dilakukan selepas ini.
Turut ada dalam sidang media tersebut ialah Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Malaysia-Turkey Friendship Foundation (MTFF), Setiausaha KL Summit Dr. Zaki Bani Ersyid yang juga Timbalan Ikhwan Muslimin Jordan, Naib Pengerusi KL Summit Syeikh Dr. Ali Osman Taha yang juga bekas Timbalan Presiden 1 Sudan dan Ketua Pegawai Eksekutif MTFF Ustaz Qamarul Naim Mohd Faisal.
Persidangan yang dicetuskan oleh Ustaz Abdullah Zaik ini telah mengumpulkan lebih 80 pemikir dari lebih 14 buah negara.
Ia membincangkan tajuk ‘Negara sivil menurut pandangan Islam’.
Ia dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Yayasan Persahabatan Malaysia-Turki (MTF), Pusat Diplomatik Arab-Turki dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN).
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan