KL Summit – Peranan wanita tidak diabaikan
BANGI, 14 November – Ketua Wanita ISMA, Ustazah Norsaleha Mohd Salleh menghargai pengiktirafan persidangan KL Summit 2014 berhubung peranan wanita dalam menjayakan setiap persidangan, seminar dan kajian ilmiah yang akan dilakukan selepas ini.
Menurutnya, sememangnya penglibatan wanita itu adalah satu keperluan dalam mendepani isu-isu global.
“Wanita adalah sebahagian daripada masyarakat. Pelbagai isu yang berkaitan dengan kebajikan wanita, kanak-kanak dan pemudi yang berlaku ketika ini.
“Jadi saya percaya jika sekiranya wanita tidak terlibat dalam mana-mana persidangan kemungkinan isu wanita dan kanak-kanak akan terabai.
“Bukan bererti kita ingin mengambil jawatan yang besar tetapi kita mahukan suara-suara yang berkaitan dengan kewanitaan, kanak-kanak dan keluarga juga diberi perhatian,” ujarnya kepada wartawan ISMAweb.
Ustazah Norsaleha juga adalah Ketua Jabatan Usuluddin di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Beliau semalam telah menyuarakan pandangannya dalam sesi penetapan resolusi agar wanita turut dilibatkan dan pandangan itu telah diterima sebulat suara oleh semua peserta.
Sementara itu menurut wakil wanita dari Jordan, Puan Asma’, beliau berbesar hati dapat menghadiri persidangan KL Summit.
“Ini satu persidangan yang hebat dan saya berharap agar pada masa akan datang akan diadakan lagi persidangan seperti ini.
“Banyak idea baru dan pandangan yang dibincangkan boleh dipraktikkan di negara saya kelak,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan