Marina perlu kemuka bukti fitnah


PUTRAJAYA, 7 November – Mahkamah Rayuan pada 5 November lalu memerintah Marina Mahathir memulakan kesnya terlebih dahulu untuk mengemukakan bukti elemen penerbitan, rujukan kepada Marina dan perkataan-perkataan yang diadukan adalah bersifat memfitnah terhadap dirinya.

Rayuannya sebelum ini yang memohon agar pihak defendan iaitu 16 pimpinan tertinggi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memulakan kes ditolak sebulat suara oleh Hakim Mahkamah Rayuan Dato’ Alizatul Khair Osman, Datuk Lim Yee Lan dan Dr Prasad Sandosham Abraham.

Mahkamah juga memutuskan bahawa perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 9 Mei 2014 (yang telah menolak permohonan lisan plaintif untuk defendan diperintahkan untuk memulakan kesnya terlebih dahulu) diubah di atas beberapa terma.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam yang mewakili pimpinan ISMA, Azad Bashir, dalam perbicaraan akan datang, perayu (Marina) diperintahkan untuk memulakan kesnya terlebih dahulu untuk membuktikan elemen penerbitan, rujukan kepada perayu dan perkataan-perkataan yang diadukan adalah bersifat memfitnah terhadap perayu.

Responden (pimpinan ISMA) pula tidak dibenarkan untuk memeriksa balas perayu berkenaan perkara-perkara lain selain daripada elemen penerbitan, rujukan kepada perayu dan perkataan-perkataan yang diadukan adalah bersifat memfitnah terhadap perayu.

Selain itu, responden boleh mengemukakan keterangan berkenaan pembelaannya terhadap tuntutan perayu termasuk pembelaan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.

Selepas responden menutup kesnya, perayu boleh mengemukakan keterangan untuk menyangkal keterangan responden. Pada peringkat ini juga responden boleh memeriksa balas Marina berkenaan pembelaan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.

Mahkamah juga menetapkan kos rayuan dijadikan kos di dalam kausa.

Pada 15 Januari tahun ini, Marina Mahathir, 57, memfailkan saman fitnah terhadap Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dan 15 pimpinan tertinggi ISMA yang lain kerana telah menyebarkan 70 ribu risalah bertajuk “Antara 54 NGO dalam Comango” di masjid-masjid di Lembah Klang, Shah Alam, Putrajaya, Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu selepas solat Jumaat pada 8 November 2013.

Pada 12 Mei pula, Marina memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan memohon agar pihak ISMA dan saksinya memberi keterangan terlebih dahulu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?