Negeri Sembilan akan wujudkan perbadanan secara berenakmen bagi Majlis Agama Islam


SEREMBAN, 5 November – Negeri Sembilan bakal menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai perbadanan secara berenakmen di Majlis Agama Islam, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya perbadanan yang diwujudkan bukan berniat untuk bermegah malah untuk memperkukuhkan sistem pentadbiran Islam dengan penuh tertib supaya dapat diurus dengan baik dan konsisten.

“Kerajaan negeri akan kemukakan rang undang-undang enakmen baharu bagi sistem pentadbiran Islam ke Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang pada 4 Disember nanti.

“Dalam pada itu, kami juga hendak meminda rang undang-undang sedia ada khususnya berkenaan dengan mualaf kerana dapat dilihat agama Islam pada masa sekarang dihina, diejek dan diheret ke mahkamah hanya kerana seseorang individu,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar bersama pengurusan dan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Seremban.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah USIM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mat Ali Hassan dan Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan para mahasiswa dan mahasiswi supaya tidak berada di dalam dunia sendiri namun mereka seharusnya bersikap mesra dengan bercampur-gaul bersama masyarakat.

“Saya sarankan supaya para pelajar universiti bersama-sama masyarakat sekeliling dalam menjalani kehidupan, berkongsi cerita dengan memahami dan menggalas masalah mereka lalu mengkaji permasalahan yang timbul, buat tesis dan bagi pandangan kepada kerajaan negeri.

“Kita memerlukan pemikir yang konstruktif daripada pengulas yang membawa kerosakan di negara kita. Kalau sekadar bercakap tetapi tidak boleh berbuat apa-apa tiada gunanya tetapi perlu bercakap, bertindak dengan selesaikan segala masalah yang ada,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM300,000 kepada Usim. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?