Pelajar hilang ketika maraton ditemui mati


HULU TERENGGANU, 4 November - Pelajar Tingkatan Empat yang hilang sewaktu menyertai perlumbaan maraton di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang di sini sejak Sabtu lepas ditemui mati oleh sukarelawan mencari dan menyelamat.

Ahmad Rafikin Azman, 16, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu itu ditemui oleh anggota penyelamat sekitar 3.30 petang di celah batu, tidak jauh dari trek perlumbaan.

Timbalan Ketua Polis Hulu Terengganu, ASP Rosli Amir ketika ditemui Bernama hanya memberi kenyataan ringkas berkenaan penemuan mangsa yang hilang sejak tiga hari lepas.

"Mangsa selamat dibawa turun kira-kira 6.40 petang tadi dan ditemui oleh pasukan penyelamat di celah batu. Dia dihantar ke Rumah Mayat Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat," katanya.

Dalam keadaan hujan lebat, operasi membawa turun mangsa memakan masa hampir tiga jam berikutan cuaca yang buruk dan laluan yang licin.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi khemah operasi mencari dan menyelamat apabila anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak dan ada antara mereka pengsan sejurus mendapat berita sedih itu.

Ahmad Rafikin dilaporkan hilang setelah tidak menamatkan perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira pukul 6 petang Sabtu.

Azman sebelum itu memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa beliau tidak menemui Ahmad Rafikin yang sepatutnya dijemput kira-kira 3 petang selepas acara itu.

Operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota pasukan bomba dan penyelamat, polis, Rela, tentera serta penduduk kampung turut disertai anggota keluarga mangsa.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?