Perhimpunan Agung UMNO – Perwakilan diseru tampil pemikiran merdeka


BANGI, 21 Nov – Menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang bermula esok hingga Sabtu ini, semua perwakilan dan kepimpinan UMNO diseru untuk menampilkan sikap dan pemikiran merdeka dalam perbahasan mereka nanti.

Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, mereka perlu menampilkan pemikiran yang merdeka tanpa dikongkong oleh acuan pemikiran politik tertentu yang ditinggalkan penjajah.

“Apa yang dinantikan ialah sikap konsisten dalam memperjuangkan kedaulatan bangsa Melayu dan kesungguhan dalam memperkukuhkan kedudukan Islam yang merupakan teras jati diri bangsa dan negara dalam dasar pembangunan negara.

“Atas landasan itu, mereka perlu berani membahaskan isu-isu penting berkaitan kenegaraan terutama yang berkaitan dengan identiti negara, perundangan, integrasi nasional, kedudukan ekonomi orang Melayu Islam dan bumiputera agar ia sentiasa sejajar dengan kehendak siasah syariyyah dan kepentingan umat Islam dan bumiputera serta perpaduan nasional.

Mereka juga harus mempertegaskan komitmen yang tinggi dalam menjunjung syariat Islam, perundangan dan perlembagaan negara mengatasi kepentingan peribadi dan politik. Untuk itu mereka perlu berani melakukan koreksi diri dan membuat pembetulan dalam amalan politik dan pelaksanaan dasar-dasar negara sejajar dengan kehendak agama, undang undang dan perlembagaan.

Isu isu tanah rizab Melayu, dasar integrasi nasional, dasar pendidikan, sekolah vernakular, undang-undang syariah, dasar ekonomi, undang-undang perlembagaan berkaitan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, kouta, dasar ekonomi dan sebagainya perlu dibahas secara merdeka dan bebas tanpa terikat dengan idea-idea lama yang ditinggalkan penjajah dan pentafsiran sekular terhadap perundangan dan perlembagaan.

Beliau berkata demikian sebagai seruan kepada semua perwakilan UMNO yang akan bersidang di Perhimpunan Agung Umno 2014 dari 25 hingga 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Katanya, setelah 57 tahun negara mencapai kemerdekaan sepatutnya kita sudah mampu berfikir sendiri dan berdikari membangunkan dasar-dasar pemerintahan mengikut acuan kita sendiri.

“Kemerdekaan telah mengembalikan kuasa pemerintahan kepada pemilik asalnya.

“Mengiktiraf kewarganegaraan kepada bukan bumiputera tidak sepatutnya mengurangkan kedudukan orang Melayu atau bumiputera sebagai bangsa yang berdaulat di wilayah kedaulatan mereka atau menafikan Islam sebagai teras jati diri bangsa dan negara Malaysia.

“Bahkan orang Melayu sepatutnya, tidak lagi perlu terikat dengan dasar pemerintahan yang dipaksakan oleh penjajah British ke atas mereka. Sebaliknya mereka perlu bebas sepenuhnya merangka dasar mengikut inspirasi dan kepentingan bangsa dan negara.

“Untuk itu mereka perlu memiliki pemikiran yang merdeka, memilih acuan sendiri dalam pemerintahan dan pembangunan negara,” jelasnya.

Tambah Ustaz Abdullah lagi, pemikiran politik Melayu juga tidak harus dikongkong oleh ketamakan bangsa lain sehingga terpaksa mengambil langkah dan dasar kaku yang mengorbankan cita-cita bangsa sendiri secara berterusan.

“Toleransi dan keterbukaan tidak harus menjadi belenggu yang mengekang kemajuan dan penguasaan Melayu dan bumiputera dalam bidang ekonomi, pentadbiran, politik, perundangan dan sebagainya,” ujar beliau.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?