Tokoh antarabangsa hadiri KL Summit bincang isu dunia Islam
BANGI, 11 November – Tokoh-tokoh terkemuka antarabangsa bakal menghadiri persidangan Kuala Lumpur (KL SUMMIT) bagi membincangkan dan menganalisa kemelut yang sedang dihadapi umat Islam serata dunia.
Persidangan anjuran Ikatan Muslimin Malaysia, Yayasan Persahabatan Malaysia-Turki, Pusat Diplomatik Arab-Turki dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) ini akan diadakan di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur bermula esok hingga 13 November ini.
Persidangan ini bakal dipengerusikan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan memberikan ucaptamanya esok.
Antara tokoh yang akan hadir dalam persidangan ini ialah bekas Menteri Luar Maghribi, Dr. Saadudin Al-Uthmani, Presiden Parti Nahdah Tunisia, Rashid Ghannouchi, Wakil Pengerusi Kesatuan Ulama Dunia, Mohamad Hasan Al-Dadu, Bekas Naib Presiden Sudan, Ali Osman Taha, Ketua Hal Ehwal Luar Biro Politik HAMAS Sheikh Jamal Isa dan Wakil Perdana Menteri Turki, Mr. Muhammet Bilal Macit.
Akan hadir juga ialah Pemimpin Lembaga Undang-Undang Syarak dan Islah Mesir Dr. Muhammad Yusri, Pemikir dan Penganalisis Politik Timur Tengah Dr. Abdullah An-Nafisi, pemikir dan pengkaji gerakan Islam sedunia Syeikh Muhamad Ahmad Ar-Rashid, Presiden Parti Keadilan dan Sejahtera Indonesia (PKS) Anis Matta dan lain-lain lagi.
Pengerusi Lembaga Pengarah MTF, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, persidangan ini akan membincangkan mengenai negara sivil mengikut perspektif Islam.
“Kita juga akan menganalisa kemelut yang sedang dihadapi umat Islam dengan kritis di samping merumus jalan penyelesaian yang terbaik.
“Dalam masa yang sama kita turut akan membincangkan dan menganalisa faktor-faktor perubahan politik dalam dunia Islam serta implikasinya terhadap perjalanan demokrasi di rantau berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, persidangan ini kelak akan dijadikan persidangan tahunan dan segala hasil perbincangan dan resolusi yang dikemukakan akan direkodkan, dikumpulkan dan dibukukan untuk dijadikan rujukan bagi tujuan pelaksanaan negara masing-masing.
Persidangan KL Summit ini merupakan kesinambungan kepada Persidangan Antarabangsa Pemikir-pemikir Islam (IMTC 2014) yang diadakan 30 April hingga 1 Mei lalu di Kuala Lumpur anjuran ISMA, MTF dan TAIM.
Ia menampilkan lebih 40 orang pemikir Islam dari 14 buah negara menyertai persidangan ini bagi membincangkan dan menganalisis realiti semasa dan memahami apa sebenarnya yang berlaku di negara Arab dan negara-negara Islam.
Antara yang hadir dalam persidangan IMTC ialah Ahli Majlis Tertinggi Kesatuan Ulama Dunia Syeikh Muhammad Hasan Al-Dadu, Ketua Hal Ehwal Luar Biro Politik HAMAS Syeikh Jamal Isa dari Palestin, ahli politik dan pemikir media Syeikh Ahmad Al-Wadi’a dari Mauritania, Penasihat Presiden Sudan Prof. Rabie’ Ahmad Hasan dan Presiden Jemaah Islamiyah Lubnan Syeikh Azzam Ayubi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan