Umat Islam diancam bahaya budaya asing


KUALA LUMPUR, 11 November – Pengerusi Persidangan Kuala Lumpur (KL Summit) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memperjelaskan kepada generasi akan datang bahaya fahaman asing seperti liberalisme yang berasal dari barat.

Katanya, ini kerana ramai di antara kita yang suka meniru apa yang datang dari negara barat sehingga dalam perkara yang melanggar nilai budaya agama dan negara kita.

“Orang barat potong rambut macam Red Indian, kita pun tiru potong rambut macam Red Indian.

“Bila ada orang conteng rata dinding dengan gambar yang kolot, kita pun ikut.

“Sedangkan ianya tidak sesuai dengan kita, sebabnya barat sudah runtuh sistem moral mereka,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media di Hotel Pacific, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam ucaptamanya yang bertajuk ‘Civil State – Islamic Perspective’ sebelum itu, katanya ketiadaan strategi yang tersusun untuk menangkis budaya asing yang seringkali bertentangan dengan ajaran agama Islam.

“Sehinggakan ia telah menyebabkan umat Islam semakin berpecah dan lemah.” katanya pagi tadi.

KL Summit dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Yayasan Persahabatan Malaysia-Turki (MTFF), Pusat Diplomatik Arab-Turki (TAIM) dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) pagi tadi.

Persidangan ini adalah untuk membincangkan dan menganalisa kemelut yang sedang dihadapi umat Islam serata dunia dengan kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa Timur Tengah.

Antara tokoh yang akan hadir dalam persidangan ini ialah bekas Menteri Luar Maghribi, Dr. Saadudin Al-Uthmani, Presiden Parti Nahdah Tunisia, Rashid Ghannouchi, Wakil Pengerusi Kesatuan Ulama Dunia, Mohamad Hasan Al-Dadu, Bekas Naib Presiden Sudan, Ali Osman Taha, Ketua Hal Ehwal Luar Biro Politik HAMAS Sheikh Jamal Isa dan Wakil Perdana Menteri Turki, Mr. Muhammet Bilal Macit.

Akan hadir juga ialah Pemimpin Lembaga Undang-Undang Syarak dan Islah Mesir Dr Muhammad Yusri, Pemikir dan Penganalisis Politik Timur Tengah Dr. Abdullah An-Nafisi, pemikir dan pengkaji gerakan Islam sedunia Syeikh Muhamad Ahmad Ar-Rashid, Presiden Parti Keadilan dan Sejahtera Indonesia (PKS) Anis Matta dan lain-lain lagi.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?