ISMA komited bantu remaja Orang Asli
KUALA LUMPUR, 11 Disember – ISMA bertekad untuk menjalinkan hubungan jangka masa panjang bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi menjalankan pelbagai program yang menyasarkan komuniti orang asli di Malaysia, khususnya di negeri Selangor.
Menurut Naib Yang Dipertua ISMA Gombak Tuan Haji Abdul Samad Ashaari, ISMA akan memfokuskan kepada program-program bersama para remaja Orang Asli bagi membentuk generasi pelapis yang akan kembali menyumbang kepada masyarakat orang asli di lokaliti masing-masing.
Beliau berkata demikian semasa program Seminar Bijak Bicara yang telah dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Gombak pada 6 Disember 2014 yang lalu bertempat di Dewan Kuliah Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dengan kerjasama JAKOA, Yayasan Ikhlas, dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Tambah beliau lagi, fokus utama ISMA adalah untuk membantu memberikan pendidikan dan bimbingan untuk mengukuhkan jati diri para remaja orang asli agar mereka dapat mengamalkan cara hidup seorang Muslim dan melindungi diri daripada anasir-anasir yang sentiasa ingin merosakkan akidah umat Islam pada hari ini.
Matlamat ini adalah selari dengan agenda ISMA yang berusaha untuk memberi impak kepada masyarakat melalui pelbagai program dan aktiviti dengan misinya untuk membina kekuatan keperibadian yang berpaksikan Islam serta penguasaaan budaya ilmu, kehidupan sihat, perancangan dan teknologi.
Menurut Pengarah KRIM Gombak, Encik Muhammad Nur Farhan, KRIM melihat pengucapan awam adalah suatu kemahiran yang sangat penting dalam usaha membentuk para remaja yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi namun tahap penguasaannya di kalangan para remaja Melayu dan Orang Asli berada pada tahap yang rendah.
“Melalui Seminar Bijak Bicara ini kita berharap agar para peserta, khususnya para remaja Orang Asli, dapat menggarap teknik berkomunikasi dan penyampaian awam yang betul dan effektif”, ujar Encik Farhan yang juga merupakan pengarah seminar tersebut.
Rata-rata remaja Orang Asli yang ditemui seronok diberi peluang menyertai program pembinaan peribadi yang membentuk keyakinan diri dalam berkomunikasi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan