Arab Saudi tutup kedutaan di Yaman
RIYADH, 14 Feb – Arab Saudi, Itali dan Jerman, semalam menutup kedutaan masing-masing di ibu negara Yaman, Sana’a, berikutan ketidaktentuan politik yang semakin meningkat di negara paling miskin di dunia Arab itu, lapor portal berita Arab News yang memetik laporan Saudi Press Agency (SPA).
SPA menyatakan disebabkan keadaan keselamatan dan politik yang semakin membimbangkan di Yaman, Kerajaan Arab Saudi menggantung semua operasi kedutaan di Sana’a selain memindahkan semua kakitangannya dan memberi amaran bahawa negara itu bakal berada dalam kancah perang saudara.
Beberapa Negara Teluk sudah berbuat demikian minggu lalu. Amerika Syarikat, Britain dan Pranchis juga sudah berbuat demikian, sebelum ini.
SPA melaporkan bahawa Arab Saudi pernah menutup kedutaannya untuk tempoh yang singkat pada tahun 2012 selepas seorang diplomatnya, Abdullah Al-Khaledi, diculik.
Sementara itu, Kementerian Luar Itali dalam satu kenyataan menyatakan bahawa duta serta kakitangan mereka sudah kembali ke Itali sambil berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh menjadi perantara kepada konflik yang berlaku di negara itu.
Jerman juga mengambil tindakan yang sama sambil jurucakap Kementerian Luarnya, Sawsan Chébli berharap militan Syiah yang menguasai ibu negara Yaman itu disingkirkan kerana ianya berbahaya bagi rantau Teluk.
Utusan Khas PBB ke Yaman, Jamal Benomar, ketika memberitahu PBB memberi amaran bahawa negara berkenaan diambang perang saudara.
Keadaan semakin membimbangkan apabila puak Houthi, sebuah kumpulan disokong Syiah dari utara negara itu, menguatkan cengkaman ke atas pentadbiran Yaman dan mengetepikan kerajaan sedia ada.
Pejuang-pejuang Houthi dikatakan mula mara ke wilayah selatan dan berdepan dengan kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta puak tempatan. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan