Sultan Nazrin mahu perkasa Islam sesuai gelaran Muizzuddin

KUALA KANGSAR, 6 Mei -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan bertitah pada Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV di Istana Iskandariah hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. -- fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

KUALA KANGSAR, 6 Mei — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan bertitah pada Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV di Istana Iskandariah hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
— fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

Oleh Azri El

KUALA KANGSAR, 6 Mei – Pada ketika kesucian agama dan umat Islam di Malaysia terus dicabar, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam nada tegas bertitah akan mempertahankannya.

Bertitah pada istiadat pertabalan Sultan Perak XXXV di Balairung Seri, Istana Iskandariah hari ini, baginda menegaskan bahawa identiti Islam dan raja Melayu tidak boleh dipisahkan.

“Pada 28 Mei 2014 Dewan Negara Perak telah mencapai kata sepakat menamakan beta sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Muizzudin bermaksud ‘pemerkasa agama’. Sesungguhnya Islam itu identiti yang tidak dapat dipisahkan dengan raja Melayu,” titah baginda.

Raja, titah baginda, hanya bertaraf ‘khalifah’ di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan dan bukan lagi seperti konsepsi lama yang menganggap raja sebagai ‘penjelmaan Tuhan di bumi’.

“Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah Ilahi,” titah baginda.

Kuasa Raja titah baginda, tidak boleh dipertikaikan selagi tidak memperlihatkan sifat menyeleweng dan selagi Raja mematuhi hukum yang telah termaktub.

Kekuatan sesebuah negara titah baginda, turut dipengaruhi kerja ‘amal makruf’ dan ketegasan negara memerangi kemungkaran.

Kegemilangan pemerintahan pula tercipta apabila pemimpin menghormati ulama dan menghargai ilmuan.

“Ulama dan ilmuan yang berani menegak yang hak dan tegas menentang yang batil lalu raja mendapat nasihat tepat,” titah baginda sambil menambah ia perlu seiring dengan umarak yang jujur dan ikhlas.

Titah baginda lagi, takhta pada setiap ketika tidak boleh bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian.

Ia bagi memastikan peranan takhta diterima baik, ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan.

“Ketika warga kelihatan semakin hanyut dilambung emosi, amatlah penting diperingatkan semula kisah perit hikayat lama, betapa akibat fitnah, betapa kerana hasad dengki, takhta telah disalah pengaruh.

“Tercetus sengketa antara dua saudara yang sebangsa, seagama, seperguruan. Bisa Taming Sari ditusuk ke dada saudara sendiri, yang tewas terkubur tanpa setunggul nisan jasa, yang menang dihempas gelombang serba salah sepanjang masa, betapa Dang Baru memamah pahit sirih derita, berpinang dan bergambir sengsara ke akhir usia, dan keagungan Melaka akhirnya luntur,” titah baginda lagi.

Institusi Raja ujar baginda, bukan cermin lama untuk melihat wajah yang tua, dan bukan juga sekadar monumen perhiasan.

Sebaliknya, pemerintahan beraja termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan Negara dengan sepuluh peratus atau 19 dari 183 perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan raja.

“Oleh itu, takhta perlu bertenaga, bersifat dinamik lagi meyakinkan, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan dalam landskap politik yang semakin memperlihatkan unsur-unsur perpecahan, yang semakin mengancam keharmonian hubungan antara agama, antara kaum,” titah baginda.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian