Raja-Raja Melayu tak berpihak kepada parti politik: Sultan Pahang

logo-majlis-raja

KUALA LUMPUR, Isnin – Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah, Raja-raja Melayu tidak berpihak kepada anutan dan fahaman politik kepartian dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara.

Baginda bertitah bahawa Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri adalah bersifat berkecuali dalam kedua-dua urusan itu.

Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri hanya ingin memelihara kepentingan rakyat secara adil dan terhormat dan tidak berasaskan kepada musim-musim pilihan raya.

“Beta mengimbas kembali pada kesempatan ini beberapa perkara untuk kita renungi. Pertama, Beta melafazkan persetujuan dengan apa yang disarankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beberapa hari yang lalu agar semua rakyat mengamalkan politik yang tidak berlebihan.

“Amalan bersederhana dalam apa sahaja perkara wajarlah dijadikan pedoman sebab ia juga ajaran agama. Apapun jika dilakukan secara keterlaluan boleh membawa bencana,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-238 pada 11 Jun ketika baginda mempengerusikan mesyuarat itu.

Perutusan baginda dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia pada hari ini kepada media rasmi.

Dalam perutusan itu, Sultan Pahang juga merujuk kepada titah Sultan Johor Sultan Ibrahim yang menggesa agar kerajaan Persekutuan berunding dan melibatkan kerajaan negeri dalam sebarang rundingan dengan negara-negara lain di mana hak dan kepentingan negeri disentuh.

“Kita perlulah sentiasa sedar dan ingat bahawa negara kita adalah negara Persekutuan iaitu yang berkongsi hak-hak dan tanggungjawab antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kerjasama dan saling hormat-menghormati akan mewujudkan keharmonian pemerintahan di kedua-dua peringkat negara dan negeri bagi kebaikan dan kebajikan rakyat jua akhirnya,” titah baginda.

Sultan Ahmad Shah turut memetik titah ucapan Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah yang menganjurkan agar peranan Majlis Raja-raja dimanfaatkan sebagai satu platform tunggal yang berkesan menemukan institusi Raja-raja dengan institusi rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Sebagai contoh, Raja-raja bersidang dan Menteri Besar atau Ketua Menteri turut hadir sebagai penasihat rasmi kepada Raja-raja.

Sistem begini adalah unik dan wajar digunakan sebagai penampung kepada peranan dan tanggungjawab Dewan-Dewan Undangan Negeri dan Persekutuan, titah baginda. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian