Menjawab kekeliruan Malaymail Online terhadap cara hidup Islam

poster raya pertama

ALHAMDULILLAH, hari ini adalah hari ketiga kita berhari raya.

Apabila masuk sahaja ke hari pertama tempoh hari, The Malaymail Online, sebuah portal yang dilihat menentang umat Islam yang ingin mengamalkan cara hidup Islam yang murni dan berubah ke arah Islam sebenar berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Portal itu menerbitkan artikel yang tidak benar dan menyimpang terus daripada maksud asal panduan menyambut Aidilfitri yang dikeluarkan Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam sederhana.

Kita tiada langsung menyebut mengenai kewajipan memakai niqab atau purdah, mahupun tidak membenarkan Muslimah memakai T-shirt. Malah, berkaitan T-shirt, kita amat memahami bahawa baju labuh itu adalah antara pakaian wanita Muslimah yang sangat digemari pada masa ini.

Justeru, laporan portal online ini amat dikesali dan tujuannya boleh dipersoalkan.

Mereka nampaknya beria-ia benar tidak suka umat Islam kembali kepada agama yang murni ini. Segala usaha ke arah itu, termasuk panduan umum sebegini pun dinilai dan diteliti untuk dicari di mana silapnya. Terima kasih kepada Malaymail Online kerana mempromosikan usaha kerdil Biro Dakwah Isma.

Bagi saudara-saudaraku umat Islam, khususnya di Malaysia ini, teruskanlah usaha untuk berubah dan kembalilah kepada Islam. Fahamilah Islam secara syumul dan kita semua akan selamat, dunia dan akhirat. Suara-suara penentang sebegini menggambarkan dakwah kita kepada kebaikan dan kesyumulan Islam kian mengesani masyarakat kita.

Bagi harakah Islam dan badan-badan Islam, teruskanlah istiqamah dalam dakwah dan seruan kita kepada Allah. Berkata benarlah sekalipun pahit. Biro Dakwah Isma akan terus memacu usaha ke arah ini insya-Allah.

Suara-suara penentang akan terus muncul dan itu hakikat kehidupan dan hakikat perjuangan.

Untuk rekod, rujukan semula dan penilaian kepada artikel berniat jahat portal terbabit, saya sertakan lagi Panduan Solat Hari Raya Aidilfitri dan Tip Menyambut Hari Raya yang dikeluarkan oleh Biro Dakwah Isma.

Ustaz Haji Omar Kassim
Pengerusi Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia

PANDUAN RINGKAS SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI & TIP MENYAMBUT HARI RAYA

HUKUM
Hukum solat sunat hari raya ialah sunat Muakkad. Ia sangat digalakkan bilamana Rasulullah SAW sendiri tidak pernah meninggalkannya semenjak disyariatkan sehingga Baginda SAW wafat. Ia diteruskan secara berterusan oleh para sahabat selepas kewafatan baginda, hinggalah ke zaman kita.

PERLAKSANAAN
Ia dilakukan secara berjemaah. Al-Bukhari (928) dan Muslim (890) meriwayatkan daripada Ummu Atiyyah Al-Ansariyyah r.a. bahawa dia menceritakan:

“Kami diperintahkan supaya keluar pada hari raya, sehingga kami (disuruh) membawa bersama anak-anak dara dan perempuan-perempuan yang haid lalu (mereka) mengambil tempat di belakang orang ramai (bukan tempat sembahyang). Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama orang ramai dalam keadaan mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya”.

Pada hari tersebut tidak disunatkan azan dan iqamah tetapi diseru dengan ucapan الصلاة جامعة. Menurut Bukhari (917) dan Muslim (886) daripada Ibn Abbas dan Jabir ra, bahawa kedua-duanya berkata:

“Tidak pernah diazankan pada hari raya puasa dan hari raya haji.”

WAKTU SOLAT
Waktu solat bermula dengan terbitnya matahari hingga gelincirnya. Namun waktu afdhalnya ialah ketika matahari naik sekadar panjang lembing (tinggi segalah) kerana itulah waktu yang selalu didirikan solat oleh Rasulullah SAW.

CARA SOLAT
Solat dilakukan sebanyak dua rakaat sama seperti kebanyakan solat-solat sunat yang lain namun disunatkan membaca takbir 7 kali dan 5 kali sebelum bacaan Al-Fatihah pada setiap rakaat. Menurut riwayat Tirmidzi (536) Amru bin Auf Al-Muzri ra meriwayatkan:

“Nabi SAW telah bertakbir ketika solat kedua hari raya pada rakaat pertama sebanyak 7 kali sebelum bacaan (Al-Fatihah) dan rakaat akhir (kedua) sebanyak 5 kali sebelum bacaan (Al-Fatihah).”

TEMPAT SOLAT HARI RAYA
Solat hari raya boleh didirikan di masjid atau padang. Tempat yang paling afdhal ialah tempat yang paling besar dan mampu memuatkan semua orang untuk solat. Jika keduanya sama, maka masjid adalah lebih afdhal kerana kemuliaannya berbanding tempat-tempat lain.

BERTAKBIR PADA HARI RAYA
Disunatkan bertakbir bermula dari tenggelam matahari pada malam kedua-dua hari raya di rumah, di jalanraya, masjid, pasar dll dengan suara yang tinggi sehinggalah Imam bertakbiratul Ihram untuk solat hari raya. Untuk hari raya puasa,takbir tidak disunatkan selepas solat Raya, bahkan hukum sunatnya berakhir apabila Imam mula melakukan takbirratul ihram untuk melakukan solat sunat hari raya.

BEBERAPA ADAB DI PAGI RAYA
1. Mandi dan memakai wangi-wangian serta memakai pakaian yang baru.
2. Disunatkan datang awal ke masjid pada pagi hari raya.
3. Pada hari raya Aidilfitri ini, disunatkan makan sedikit sebelum keluar untuk solat.
4. Disunatkan pergi ke tempat solat atau masjid melalui satu jalan dan kembali melalui jalan yang lain.
Al-Bukhari (943) meriwayatkan dari Jabir ra, dia berkata: “Pada hari raya Rasulullah SAW melalui jalan yang berlainan”.
Rujukan: Kitab Fiqh Manhadji, Dr Mustafa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Pustaka Salam, Cetakan 1 (1998)

KESIMPULAN
Hari raya Aildilfitri adalah di antara hari kebesaran terbesar kepada umat Islam. Ia adalah tanda kemenangan kepada umat Islam setelah sebulan penuh menempuh ujian dengan melaksanakan ibadah puasa dengan penuh ketaatan dan mengharapkan ganjaran dari Allah SWT. Justeru, hari ini mestilah dirancakkan dengan amal soleh dan tidak pula dicemari dengan maksiat dan perkara yang sia-sia.

Sebagai panduan ringkas, kita digalakkan MELAKUKAN (DO):
1. Ziarah-menziarahi ibubapa dan sanak saudara dengan tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim yang lama terjalin;
2. Semasa berziarah, simpan telefon bimbit di poket anda dan bersembanglah dengan sanak saudara dengan penuh ramah mesra tanpa diganggu internet dan gajet kita;
3. Menjaga batas-batas aurat walaupun sesama ahli keluarga dan mengenakan pakaian yang cantik, sopan dan patuh syariah;
4. Menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya dan ucapan kemaafan kepada semua ahli keluarga dan kenalan;
5. Banyakkanlah bersedekah atau memberi ‘duit raya’ terutama kepada fakir miskin, sanak-saudara, ahli keluarga serta umat Islam lain yang tertindas di seluruh pelusuk dunia;
6. Menjaga pemakanan mengunjungi rumah terbuka agar tidak makan berlebihan dan kesihatan terjaga;
7. Beneruskan dengan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal; dan
8. Terus istiqamah dengan amal-amal sunat di bulan Ramadhan seperti solat-solat sunat, witir, tahajjud, tilawah Al-Quran, puasa sunat dan sebagainya.

Dan kita cuba tinggalkan yang berikut (DON’TS):
1. Menghabiskan masa dengan menonton rancangan-rancangan televisyen yang tidak bermanfaat di TV atau internet;
2. Jangan biarkan anak-anak bermain gajet mereka semasa ziarah hari raya. Simpan gajet-gajet tersebut atau tinggalkan sahaja di rumah untuk menggalakkan mereka berkenalan dan bermesra semasa sanak saudara;
3. Tidak bermewah-mewah berbelanja apatah lagi menunjukkan kemewahan kepada orang lain; dan
4. Memakai pakaian yang ketat dan jarang serta mendedahkan aurat.

Semoga Allah SWT memberkati kita semua di Aidilfitri yang mulia ini, menerima amal soleh kita di bulan Ramadhan serta menemukan kita dengan Ramadhan akan datang, insyaAllah.
تقبل الله منا ومنكم. كل عام وأنتم بخير

Selamat berbahagia menyambut Aidilfitri dari kami,
BIRO DAKWAH IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian