27 laporan polis sepanjang Bersih 4
KUALA LUMPUR, Isnin – Perhimpunan dua hari Bersih 4 berakhir pada tengah malam ini seperti dijadualkan, dengan ribuan pesertanya bersurai secara aman sambil dikawal oleh anggota polis.
Walaupun polis menerima 27 laporan dan membuka lima kertas siasatan, keadaan sewaktu perhimpunan itu secara umumnya adalah terkawal.
Peserta yang mula berkumpul di Dataran Merdeka sejak Sabtu mengakhiri perhimpunan itu dengan menyanyikan lagu kebangsaan serta membuat kiraan detik Hari Kebangsaan 2015, dengan diketuai ketua penganjur, Maria Chin Abdullah.
Mereka mula bersurai lima minit selepas tengah malam.
Petugas yang terlibat dengan persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan kemudian terus memulakan kerja mereka sebaik kawasan itu dikosongkan.
Dataran Merdeka ditutup kepada semua kenderaan sejak minggu lalu bagi persiapan sambutan Hari Kebangsaan, tetapi kehadiran ribuan peserta Bersih 4 di kawasan itu sejak dua hari lalu menjejaskan kerja-kerja di situ.
Jalan menuju ke Dataran Merdeka dijangka dibuka semula kira-kira jam 2 pagi ini. – BERNAMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan