Mesir kenakan syarat jika Ikhwanul Muslimin mahu sertai pilihan raya
KAHERAH, Isnin – Ikhwanul Muslimin dikenakan syarat supaya meninggalkan fahaman yang ekstrem jika mahu menyertai pilihan raya negara itu yang bakal diadakan dalam beberapa fasa mulai 17 Oktober hingga 23 November ini.
Sehubungan itu, Penasihat Hal Ehwal Pilihan Raya kepada Perdana Menteri, Mejar Jeneral Refaat Komsan, berkata jawatankuasa berkenaan tidak menghalang mana-mana pihak daripada menyertai pilihan raya Parlimen Mesir tahun ini.
“Jawatankuasa tidak boleh menggubal undang-undang untuk menghalang pihak tertentu daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.
“Bagaimanapun, rakyat sendiri yang akan memilih siapa yang mereka mahu. Kini, semua sudah tahu dan sedar mengenai budaya pilihan raya,” katanya dalam satu temu bual dengan Al-Shorouk.
Refaat, ahli jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan dalam persediaan undang-undang bagi proses pilihan raya itu, berkata walaupun tiada undang-undang melarang pihak tertentu mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang, orang ramai hanya akan menerima Ikhwan Muslimin jika kumpulan itu meninggalkan fahaman ekstrem.
“Perdamaian akan dipilih sendiri oleh rakyat, kerana mereka adalah orang yang menderita akibat bom di jalan, kehidupan terjejas dan ramai pegawai keselamatan dibunuh,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Tinggi (HEC) mengumumkan, fasa pertama pilihan raya Parlimen Mesir akan bermula pada 17 hingga 18 Oktober untuk pengundi di luar negara dan 18 hingga 19 Oktober untuk pengundi di Mesir.
Ketua HEC, Hakim Ayman Abbas berkata, fasa kedua pilihan raya akan bermula pada 21 hingga 22 November untuk pengundi di luar negara, dan 22 hingga 23 November untuk rakyat di Mesir.
Abbas berkata, pencalonan bermula pada 1 September dan akan berlangsung selama 12 hari.
Pilihan raya Parlimen merupakan langkah ketiga dan terakhir dalam pelan tindakan politik yang ditetapkan selepas presiden pertama dilantik secara demokrasi, Mohamed Morsi, digulingkan oleh pemerintah tentera pada Julai 2013. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan