Nahas DUKE: Perbicaraan bermula, 2 dituduh memandu berbahaya

myiv

KUALA LUMPUR, Rabu – Mahkamah Trafik di sini hari ini, diberitahu kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang meragut nyawa tiga beranak, 2 Mei lalu, berlaku tengah malam dan bukannya awal pagi.

Perubahan waktu itu berikutan tindakan pendakwaan yang meminda pertuduhan ke atas Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31.

Pertuduhan pindaan tersebut dibaca semula di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan sebelum perbicaraan kes itu bermula.

Melalui pertuduhan pindaan itu, kedua-dua tertuduh didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Km 6 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta, antara 12.31 tengah malam sehingga 12.35 tengah malam, 2 Mei lepas.

Sebelum ini, mereka didakwa atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian semua mangsa di laluan yang sama pada 1.05 pagi, 2 Mei lepas.

Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan mengekalkan pengakuan tidak bersalah mereka.

Sementara itu seorang saksi perbicaraan memberitahu mahkamah, orang awam yang melihat kejadian itu turut membantu membawa Nur Firuza Annisa ke hospital.

Penyelia Pejabat Pertanyaan Team A Balai Polis Trafik Tun H S Lee, Koperal Ahmad Fauzi Taha, berkata beliau menerima panggilan telefon dari seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal daripada Bilik Gerakan Balai Polis Trafik Tun H S Lee yang memaklumkan perkara itu.

“Pada 2 Mei, 1.05 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada Lans Koperal Zulkifli memaklumkan berlaku kemalangan maut di ‘highway’ (lebuh raya) DUKE dan anggota polis ‘standby’, Lans Koperal Amir telah berada di tempat kemalangan.

“Saya dimaklumkan kemalangan melibatkan dua buah kereta Myvi dan sebuah Pajero. Pemandu Pajero maut di tempat kejadian, isterinya dibawa ke hospital dengan ambulans dan anaknya dibawa orang awam ke hospital,” katanya pada perbicaraan itu di sini.

Ahmad Fauzi adalah saksi pertama dipanggil dalam perbicaraan selama dua hari bermula Selasa.

Beliau yang telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia selama 29 tahun dan bertugas di bahagian Trafik selama empat tahun bertanggungjawab menerima semua rekod kemalangan termasuk rekod am trafik.

Sementara itu dalam perbicaraan sama, saksi ketiga seorang jurugambar Balai Trafik Tun H S Lee, Koperal Mohd Harris Apandi memberitahu beliau telah mengambil 23 keping gambar di lokasi kemalangan.

Beliau berkata, pada hari kejadian, beliau diarahkan untuk mengambil tiga keping gambar mayat mangsa di lokasi dan 20 keping gambar lokasi kejadian termasuk gambar kenderaan yang terlibat kemalangan dan kesan tayar pada jalan.

Pada perbicaraan itu, Siti Noor Aini diwakili peguam Omar Bakri Ahmad, manakala Mohammad Fizal Reza diwakili peguam S N Seelan.

Turut hadir pada perbicaraan itu ialah peguam pemerhati C Leo Camoens yang mewakili keluarga mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim dan Nadiah Malek Fauzie.

Perbicaraan bersambung esok.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian