‘Nilailah toleransi Melayu undi calon bukan Islam, sebangsa’
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mempertikaikan sikap kaum lain, terutama ultra kiasu yang tidak dapat bertoleransi dalam mengundi calon pada pilihan raya umum (PRU), berbanding bangsa Melayu.
Beliau berkata, bangsa Melayu sanggup memilih calon bukan beragama Islam dan sebangsa dengan mereka dalam PRU sehingga ultra kiasu mendapat untung dan terus menambah kerusi.
“Nilaikanlah toleransi orang Melayu (Islam). Sanggup mengundi calon tidak seagama dan tidak sebangsa, tinggalkan calon seagama sebangsa, hanya kerana toleransi dan mendengar arahan parti.
“Siapakah yang untung dalam permainan ini kalau bukan ultra kiasu? Mereka menambah kerusi setiap kali PRU.
“Kenapa sukar sangat orang lain melakukan sedemikian? Kenapa ultra kiasu tidak meletakkan calon Melayu mereka bertanding di kawasan majoriti Cina seperti Kepong, Seputeh, Petaling Jaya dan lain-lain?,” katanya dalam artikel bertajuk di Sinar Harian, hari ini.
Pun begitu Ustaz Ridhuan Tee berkata, pada PRU akan datang, tidak mustahil ultra kiasu akan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina bagi menunjukkan mereka tidak rasis.
“Sudah pasti calon Melayu itu akan menang, kerana ultra kiasu tahu, hanya seorang dua sahaja Melayu dalam parti tersebut dan mereka tidak boleh membuat apa-apa keputusan.
“Justeru, pendekatan berstrategi perlu diberikan perhatian serius. Apatah lagi dengan kemunculan GHB yang sudah pasti akan memecahkan lagi undi Melayu,” katanya.
Mengulas mengenai Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dipimpin mereka yang tidak lagi sebulu dengan Pas, Ustaz Ridhuan Tee berkata, GBH melakukan satu dosa besar jika menentang Pas, yang telah menaikkan mereka hingga ke tahap ini.
“Di kawasan mana GHB akan bertanding? Apakah mereka yang menang atas tiket Pas sebelum ini akan terus mahu mengekalkan kerusinya menentang Pas sendiri, selain berhadapan parti politik lain yang pasti akan bertanding?
“Apakah ultra kiasu akan memberi laluan kepada GBH untuk bertanding di kawasan kubu kuatnya. Jauh panggang dari api. Namun tidak mustahil, GHB akan bertanding menentang saudara seagamanya sendiri seperti yang pernah berlaku dalam sejarah IRC (Ikram) itu sendiri,” katanya.
Ustaz Ridhuan Tee berkata, IRC yang kini majoriti menganggotai GHB, masih ada dalam Pas, Umno dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Katanya, strategi mereka masuk ke dalam Pas untuk menguasai telah dihidu oleh Pas.
“Begitu juga kehadiran mereka dalam Umno dan lain-lain pertubuhan. Strateginya pecahkan, bagi tujuan menguasai.
“Saya nasihatkan IRC supaya berhenti melakukan kerja-kerja ini. Belajarlah erti ikhlas dalam perjuangan. Buatlah kerja-kerja yang lebih bermanfaat daripada merosakkan jemaah lain. Kamu tidak akan berjaya.
“Adalah lebih baik buat kerja-kerja melondehkan strategi musuh Islam,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan