Rakyat, pelabur semakin tak percaya kerajaan: Muhyiddin
Oleh RZ
BANGI, Isnin – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kepercayaan rakyat, pelabur dan komuniti perniagaan terhadap kerajaan sekarang ini sudah semakin longgar dan luntur.
Beliau berkata, pada masa ini ramai pihak berpandangan bahawa negara kita sedang menghadapi masalah defisit kepercayaan yang parah.
“Ringgit kita kian merudum terutamanya berbanding Dolar Amerika dengan nilainya sekarang yang paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Pasaran saham jatuh, rizab negara merosot dan sentimen pengguna adalah paling rendah dalam tempoh 7 tahun.
“Benar, faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi mempengaruhi pasaran kewangan dan ekonomi, tetapi prestasi kita antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau. Inilah realiti yang harus kita terima dan mesti diatasi dengan segera,” katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan yang dikirim dalam Facebook beluam, malam tadi.
Sambil menyambut baik kenyataan Gabenor Bank Negara bahawa asas ekonomi negara kukuh, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mengetasi sentimen rakyat, pelabur dan masyarakat antarabangsa yang agak negatif disebabkan beberapa isu politik yang melingkari negara hari ini.
Beliau berkata, rakyat semakin resah apabila hari demi hari prinsip integriti dan akauntabiliti kelihatan semakin terhakis dalam pentadbiran negara.
“Pegawai-pegawai kerajaan yang dedikasi dalam melaksanakan tugas ditamatkan perkhidmatan, ditukar, diugut dan diambil tindakan.
“Kebebasan institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia seolahnya semakin disekat.
“Tidak dapat dibayangkan dalam sejarah perkhidmatan awam negara kita, terdapat pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berdedikasi sanggup bersuara lantang menentang pihak atasan yang cuba mencabuli prinsip perkhidmatan awam yang adil, tegas dan berkecuali.
“Ada juga sesetengah pemimpin politik yang mengugut untuk menyekat kebebasan rakyat daripada menyuarakan pandangan terutamanya di media sosial kerana tidak sanggup lagi mendengar kritikan dan teguran rakyat yang semakin hari semakin lantang,” katanya.
Muhyiddin mengkritik sesetengah pihak yang menggelar mereka yang menegur pemimpin kerajaan sebagai pengkhianat dan dituduh hendak menggulingkan kerajaan.
“Mereka ini jelas tidak dapat membezakan antara menegur pemimpin dengan menggulingkan kerajaan adalah dua perkara yang berlainan. Betapa ramai pemimpin negara sebelum ini yang menerima teguran, tetapi kerajaan terus kekal, malah bertambah kukuh.
“Atas segalanya, kredibiliti pemimpin semakin dipersoalkan. Institusi demokrasi yang ada dilihat sudah tidak dapat lagi berfungsi dengan baik untuk melakukan perubahan kerana ditekan dan dikawal dengan ketat oleh mereka yang berkuasa.
“Saya bimbang selagi kemelut besar kepimpinan ini tidak dapat diselesaikan, maka selagi itulah negara dan kerajaan akan terus dibebani dengan masalah defisit kepercayaan yang semakin parah,” katanya.
KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA PERUTUSAN PENUH TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan