Risalah Tauhid memerdekakan wanita
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Isnin – Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Ustazah Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata, merdeka buat seorang wanita Islam ialah berjaya membebaskan dirinya daripada syirik kepada mentauhidkan Allah SWT sama ada dalam hati, tutur bicara mahupun amalannya.
Beliau berkata, dulu wanita sering dipandang negatif kerana dianggap kaum yang bertaraf rendah, kotor dan menjijikkan serta hanya pemuas nafsu lelaki.
“Kedatangan Islam 1,440 tahun dahulu mencatat sejarah berharga buat semua kaum wanita. Islam agama yang membawa risalah tauhid, telah memerdekakan wanita daripada belenggu dan cengkaman jahiliyah,” katanya.
Katanya, erti merdeka sebenar untuk wanita, apabila dia mengabadikan kehidupannya untuk mendapat reda Allah serta bebas melaksanakan amalan Islam tanpa perlu rasa takut terhadap pandangan manusia.
“Dia bebas untuk menunaikan solat dan menjaga pergaulan ketika di tempat kerja selain bebas untuk berkata tidak kepada zina, arak serta judi tanpa perlu berasa malu dan bersalah.
“Dia bebas untuk mengurus rumahtangga dan keluarga, mendidik anak-anak mengikut acuan Islam tanpa ragu dan segan,” katanya dalam kiriman Facebook beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-58, hari ini.
Ustazah Dr Norsaleha berkata, wanita dibenarkan menuntut ilmu setingginya, berjawatan tinggi, memandu kereta, mengundi, diundi malah menjadi pemimpin negara namun mengikut syarat yang ditetapkan.
“Antaranya mendapat izin suami, berusia 45 tahun, mempunyai keluarga yang sejahtera dan menjaga adab-adab keluar rumah seperti menutup aurat dan sebagainya,” katanya.
Katanya, wanita adalah penasihat yang efisyen dan realistik kepada kaum lelaki terutama dalam bidang yang mikro yang sukar difahami lelaki.
“Sejarah membuktikan bagaimana Rasulullah SAW mengambil nasihat isteri baginda Ummu Salamah dalam urusan umat Islam. Ketika melaksanakan umrah bersama para sahabat, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar mencukur rambut dan menyembelih korban. Namun tidak dipedulikan oleh para sahabat yang ketika itu sedang bersedih.
“Mengetahui keadaan tersebut, Ummu Salamah telah menasihati Rasulullah SAW agar keluar bercukur dan menyembelih unta sendiri tanpa berkata sepatah pun kepada para sahabat. Apabila para sahabat melihat perbuatan Rasulullah SAW, mereka keluar beramai-ramai daripada khemah dan mengerjakan apa yang dilakukan Rasulullah SAW,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan