‘Saya bangga kudung kerana negara’
Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, Isnin – Seperti operasi sebelumnya, Mohd Yunus Abdullah sudah bersedia untuk menjalankan kewajipannya kepada negara sebaik lengkap menyarungkan pakaian seragam tentera di badannya itu.
Akan tetapi, bagaikan ada sesuatu yang tidak kena pada hari tersebut. Sejak awal pagi lagi, hatinya tidak begitu tenteram seolah-olah dapat merasakan ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
Malahan, suasana sunyi di Kem Gubir, tempat beliau ditugaskan yang berpangkalan di Kedah itu pun tidak mampu meredakan kebimbangannya. Apatah lagi, apabila melihat ada yang mundar-mandir di sekitar kem mahupun ada yang tidak lekang daripada asyik melihat jam di tangan.
“Mesti akan berlaku sesuatu nanti,” detik suara hati kecil Mohd Yunus.
Sedang asyik dibuai kerungsingan, keadaan di kem tiba-tiba bertukar wajah sebaik kedengaran bunyi bising yang begitu membingitkan. Agak kelam-kabut, manakala nada cemas jelas menyusuri setiap anggota tentera yang memenuhi dataran kem itu.
Helikopter kita sudah kena tembak,” jerit seorang daripada rakan Mohd Yunus sebaik melihat helikopter Nuri yang terlibat dalam operasi khas memburu komunis dalam keadaan tidak terkawal menuju ke kem Gubir.
PERISITWA BERDARAH
Begitu jelas kelihatan, minyak helikopter bercucuran seperti air hujan menyimbah bumi. Namun, mereka bersyukur kerana tidak ada seorang pun yang mati walaupun kesemua askar komando dalam helikopter itu terkena tembakan.
“Kebiasaannya kalau Nuri hendak mendarat, ia akan pusing dahulu perlahan-lahan. Tetapi, tidak kali ini. Melihat keadaan itu, kami sudah tahu ada yang tidak kena dan helikopter itu adalah antara 10 Nuri yang terlibat dalam operasi khas.
“Kami mendapati ada 52 lubang bekas tembakan komunis di helikopter berkenaan,” kata Mohd Yunus kepada Bernama ketika mengimbau kembali detik-detik cemas insiden 19 April 1976.
Diceritakan dengan penuh semangat oleh bekas anggota tentera berpangkat sarjan berusia 68 ini, kisah itu masih terpahat kemas dalam memorinya biarpun ia sudah berlalu melebihi tiga dekad.
Peristiwa berdarah 1976 ini tidak mungkin dilupakan oleh Mohd Yunus kerana insiden itu menjadi punca beliau menanggung penderitaan seumur hidup apabila disahkan mengalami kecacatan kekal.
Seorang yang dilahirkan normal, anak kelahiran Selayang ini akhirnya terpaksa menerima hakikat, kaki kirinya kudung kerana perlu dipotong sehingga ke paras lutut akibat terpijak jerangkap samar komunis.
Mohd Yunus Abdullah, 68, (belakang, dua, dari kiri) semasa zaman muda berkhidmat dalam Batalion Ke-Tujuh Renjer Malaysia – Foto Bernama
‘TIDAK ADA KAWAN’
Menyingkap kembali peristiwa kelam itu, Mohd Yunus yang diserapkan ke dalam Batalion Ke-Tujuh Renjer Malaysia selepas menjalani latihan di Port Dickson pada 1970, berkata beliau telah diarah ke kem musuh susulan daripada kejadian helikopter berkenaan.
Pada masa itu, semua unit tentera di Kedah telah dikumpulkan di Kem Gubir untuk operasi besar-besaran sebaik pihak keselamatan negara memperoleh maklumat mengenai perkampungan besar komunis di sempadan Malaysia- Thailand.
Yang juga, menampakkan kelibat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Gubir adalah satu daerah di negeri Kedah dan menjadi satu daripada kawasan markas pengganas komunis di Utara Semenanjung Malaysia ketika darurat.
“Sebelum kumpulan kami dihantar ke sana menggunakan helikopter Nuri, beberapa serangan bom telah dilancarkan bagi melumpuhkan dan mengucar-ngacirkan pertahanan musuh.
“Pak cik bersama 18 rakan dari platun 7-Renjer telah bergerak ke kem komunis pada 20 April. Pak cik masih ingat lagi arahan ketika itu, ‘Di bawah tidak ada kawan’ yang ada hanyalah musuh,” katanya.
Biarpun rasa sedikit cuak sebaik mendengar arahan diberikan, semangat juang yang tinggi telah memberanikan mereka menggempur kem pengkhianat negara.
PENUH JERANGKAP SAMAR
“Nasiblah antara hidup dan mati, itu perasaan saya ketika turun dari helikopter ke sebuah kawasan kebun berhampiran kem itu. Ini kerana, bila-bila masa sahaja kami boleh ditembak oleh komunis yang berada di bawah,” katanya.
Berbekalkan senjata dan peluru di tangan, platun Mohd Yunus yang diketuai oleh Leftenan Ratnam bergerak dengan penuh berhati-hati kerana kawasan sekitar kem musuh telah dipenuhi dengan jerangkap samar.
Sehinggalah, perjalanan mereka terhenti di satu persimpanan yang memaksa Mohd Yunus yang berjalan di hadapan ketika itu memanggil ketuanya berkaitan panduan jalan.
“Bila berada di simpang, kita kena beritahu pegawai. Pak cik tidak boleh buat keputusan walaupun berjalan mendahului yang lain.
“Pak cik ingat lagi kejadian itu berlaku tengah hari dan sekejap sangat. Sebaik mendapat arahan supaya membelok ke kanan, kaki kiri rasa terpijak sesuatu dan secara tiba-tiba terdengar bunyi letupan dan pak cik melambung ke atas.
“Sedar sahaja, pak cik tengok kasut sudah hilang entah ke mana manakala tumit kaki kiri retak, terbelah dua tetapi tidak berdarah,” katanya.
Dalam keadaan penuh kesakitan itu, beliau cuba menggerak-gerakkan kaki kiri tetapi tidak boleh. Ini, membuatkan Mohd Yunus sedar bahawa beliau sudah pun kehilangan nikmat amat berharga itu.
BANGGA
“Apabila berlaku kejadian seperti ini, yang lain mesti mematikan diri, tidak boleh menghampiri mereka yang terkena jerangkap samar. Itu, undang-undang.
“Ini kerana, takut lebih ramai yang kena. Tunggu beberapa minit, baharu boleh menghampiri mangsa kerana ketika itu kita akan dapat lihat beberapa jerangkap samar yang ditanam di sekitar kawasan tersebut timbul akibat gegaran letupan tadi,” katanya.
Reda kakinya terpaksa dipotong, bagaimanapun beliau yang ketika itu baharu berusia 27 tahun mengakui bimbang dengan penerimaan keluarga terutama ibu bapanya ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Selama empat hari menerima rawatan, baharulah arwah ayah dan ibu pak cik datang kerana mereka lambat mendapat berita mengenainya.
“Arwah ayah menangis ketika itu dan pak cik tanya mengapa. Katanya, beliau bangga kerana anak abah berkorban untuk negara,” ceritanya dalam keadaan penuh sebak.
TRAUMA
Biarpun mendapat bantuan kaki palsu, insiden itu telah membuatkannya trauma. Setahun lebih, beliau berasa takut memijak tanah menggunakan kaki kanan, walaupun bukan kaki itu terkena jerangkap samar.
“Pelbagai cara dilakukan sehinggalah pak cik akhirnya mendapat kembali kekuatan untuk berjalan. Sejak itu, pak cik telah ditukarkan ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di bahagian perhubungan awam, Kementerian Pertahanan sehinggalah pencen pada 1992,” ujarnya.
Susulan beberapa hari Mohd Yunus terkena jerangkap samar, sebuah helikopter Nuri telah ditembak jatuh di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, pada 26 April 1976 ketika menghantar bantuan penting kepada anggota tentera yang sedang menjalankan operasi ‘pembersihan’ jerangkap samar di sebuah kem komunis.
Insiden menyayat hati itu telah mengorbankan 11 pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang berada di dalamnya.
“Ini sebahagian bukti pengorbanan kami untuk negara, bangsa dan agama. Sebab itulah, pak cik amat marah kalau tengok anak-anak muda melepak, hisap dadah dan sebagainya.
“Mereka masa depan negara. Kerana itulah, pak cik menggalakkan mereka supaya masuk pasukan anggota untuk pertahankan negara kita. Kalau bukan mereka, siapa lagi,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan