Himpunan Merah Bukan Tindakan Bijak, Orang Melayu Perlu Insaf

ust hazizi

Himpunan Merah sempena 16 September bukan satu tindakan bijak dalam konteks perjuangan bangsa. Ia tidak lebih hanya tindak balas terhadap Bersih 4.0 yang didominasi satu kaum. Bagaimanapun tindak balas ini berpotensi menimbulkan imej buruk yang sejak sekian lama dipalitkan kepada perjuangan bangsa. Hakikatnya, hanyalah perjuangan sebuah parti sahaja pun. Sebab setitik nila, rosak susu sebelanga.

Hakikatnya, orang-orang Melayu bukan memerlukan demonstrasi. Mereka sebenarnya perlu menginsafi diri, kembali kepada ilmu dan takwa, kenali akar sejarah bangsa yang bertamadun di rantau ini.

Orang-orang Melayu perlu insafi bahawa Perlembagaan Persekutuan memberikan seribu satu keistimewaan untuk mereka di negara bertuah ini, sama ada atas nama Melayu, Islam mahupun institusi Raja-raja. Malangnya, kedudukan istimewa itu disalah gunakan oleh segelintir pemimpin yang tamak haloba.

Lebih buruk lagi, kelebihan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan itu tidak dimanfaatkan oleh pemimpin-pemimpin selama ini untuk menerbitkan undang-undang yang boleh menjaga dengan kemas kedudukan istimewa tersebut. Jikapun ada undang-undang, seperti Akta Hasutan, jatidiri pemimpin yang luntur pula menafikan tindakan yang sepatutnya diambil.

Akibatnya, apabila satu demi satu provokasi kaum lain ke atas kedudukan istimewa Islam dan bangsa Melayu di negara ini tidak upaya diambil tindakan, maka semakin bermaharaja lelalah puak chauvinis penyeru kesamarataan yang menyanggah Perlembagaan.

Kini puak chauvinis ini tidak perlu lagi tampil ke depan, kerana terdapat orang-orang Melayu yang menjadi corong suara sumbang mereka; menafikan kewujudan Tanah Melayu, menafikan kekuatan orang-orang Melayu zaman kegemilangan Melayu Melaka, dan bermacam-macam jenis penafian terhadap hak dan asal usul sendiri. Hakikatnya ialah jiwa mereka sudah kalah.

Melayu yang sokong kuning tidak perlulah “menyumpah” bangsa sendiri. Hakikatnya majoriti bangsa Melayu tidak bersama anda yang liberal. Kalau sudah berada di pulau, tidak perlulah memulaukan diri sendiri.

Melayu yang sokong merah, ke manakah hala tuju anda? Apakah yang anda perjuangkan? Sampai bilakah anda mahu rasa gah dengan sorak sorai seperti tong kosong, sedangkan nasib bangsa semakin tidak menentu dan semakin terhakis hak di bumi sendiri? Sampai bilakah kita mahu digelakkan oleh musuh sebagai “menang sorak, kampung tergadai”?

Mohd Hazizi Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian