Indonesia perlu masa tiga tahun selesai masalah jerebu: Jokowi

jokowi haze
JAKARTA, Rabu – Indonesia memerlukan tempoh tiga tahun untuk menangani kegiatan pembakaran ladang dan hutan di negara itu, sekali gus menyelesaikan masalah jerebu yang melanda negara jiran mereka.

Presiden Joko Widodo berkata, masalah pembakaran hutan tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa singkat dan tiga tahun adalah tempoh untuk melihat pencapaian hasil kerja yang dilakukan bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara dengan siaran BBC Indonesia seperti yang dipetik portal berita atas talian tempatan hari ini.

Katanya, Indonesia telah melakukan yang terbaik untuk menangani masalah jerebu yang memberi kesan kepada negara jiran terutama Malaysia dan Singapura.

Presiden Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu berkata antara usaha yang sedang dijalankan ialah mengerah 3,700 anggota tentera dan 8,000 polis, serta empat pesawat untuk memadamkan kebakaran.

Jokowi berkata, kerajaan juga mengambil tindakan segera membina terusan di tanah ladang supaya tanah berkenaan sentiasa basah dan tidak mudah terbakar.

Katanya, daripada aspek penguatkuasaan pula, pihak berkuasa telah menahan beberapa individu dan pemilik syarikat yang dipercayai terbabit dengan aktiviti pembakaran hutan dan ladang bagi tujuan penanaman semula.

Kebakaran hutan dan kawasan pertanian kini melanda beberapa wilayah Indonesia seperti Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan serta Kalimantan Timur.

Pembakaran besar-besaran hutan dan tanah pertanian dipercayai dilakukan pihak tertentu sebagai cara mudah membuka kawasan pertanian baharu dan syarikat pelaburan Malaysia dan Singapura sering dikaitkan kononnya sebagai pihak yang terbabit.

Persatuan Pelabur Perkebunan Malaysia di Indonesia (APIMI) bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mengesahkan tiada satu pun syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia terbabit dengan aktiviti pembakaran ladang dan hutan.

Ketua Perwakilan APIMI Nor Hazlan Abdul Mutalib berkata kesemua syarikat perladangan Malaysia memastikan ia mematuhi amalan kerja pembersihan ladang tanpa pembakaran.

Beliau berkata amalan membakar hutan dan ladang bagi sebarang tujuan adalah satu kesalahan di negara ini, dan kesemua anggota APIMI sentiasa mematuhi undang-undang dalam operasi ladang.

Katanya jika ada kes pembakaran terbuka dalam kawasan ladang milik Malaysia, ia sebenarnya dilakukan rakyat tempatan yang tinggal di kawasan berkenaan.

“Ini kerana terdapat penduduk setinggan dalam kawasan ladang milik syarikat pelaburan asing di negara ini dan kerajaan Indonesia sendiri mewajibkan pemberian 20 peratus kawasan ladang kepada penduduk berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), jerebu di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Barat pagi tadi sangat berbahaya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di situ hampir 1,000 sebelum turun kepada tahap sangat tidak sihat sejak tengah hari tadi.

Di Pontianak, keadaan jerebu masih di tahap sangat tidak sihat dengan bacaan IPU 250-300 manakala di Palembang pula, bacaan IPU pada pagi tadi adalah sangat berbahaya apabila mencecah 900 tetapi turun ke tahap sangat tidak sihat iaitu antara 250-300 pada tengah hari. -Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian