Kedah catat 18 kes gigitan, dua babit anjing gila
ALOR SETAR, Selasa – Jabatan Kesihatan Kedah mencatat 18 kejadian gigitan anjing sehingga 20 Sept lepas dengan dua daripadanya melibatkan anjing gila.
Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata ia membabitkan 17 ekor anjing dengan dua kes berlaku di Kota Setar, Kuala Muda (tiga), Kulim (tiga), Kubang Pasu (enam), Padang Terap (satu), Bandar Baharu (satu) dan Langkawi (dua).
Beliau berkata tiada kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia dilapor setakat ini.
Beliau berkata dua kes rabies tersebut di Kota Setar berlaku terhadap pasangan suami isteri pada 7 dan 11 Sept membabitkan anjing peliharaan mereka.
“Pada mulanya dilaporkan seorang wanita berusia 53 tahun digigit anjing peliharaannya yang mengidap penyakit rabies. Namun apabila siasatan lanjut dijalankan, wanita tersebut mengesahkan suaminya yang berusia 53 tahun turut digigit anjing yang sama,” katanya.
Dr Norhizan berkata suami wanita berkenaan telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini dan diberikan suntikan vaksin mencegah rabies serta menerima rawatan pesakit luar.
“Suami wanita itu dilapor berada dalam keadaan sihat, tetapi dinasihat supaya sentiasa memantau keadaan kesihatannya dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami demam atau sakit kepala,” katanya. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan