Kuantan catat kes demam denggi tertinggi di Pahang

Dr Zainal Ariffin Omar
KUANTAN, Rabu – Daerah Kuantan mencatatkan kes demam denggi tertinggi di Pahang, iaitu sebanyak 1,146 kes untuk tempoh Januari hingga 26 Sept lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Dr Zainal Ariffin Omar berkata lima lokaliti tinggi di Kuantan ialah Taman MBSB IM2, Taman Medan Masyur 2, Taman Sungai Isap Fasa 1, Taman Sungai Isap Fasa 3 dan Taman Balok Maju.

Beliau menambah daerah lain yang mencatatkan kes demam denggi bagi tempoh sama ialah Temerloh (299), Jerantut (130), Raub (123), Maran (86), Bera (72), Rompin (55), Bentong (21), Lipis (20), Pekan (18) dan Cameron Highlands (1).

“Secara keseluruhan, terdapat 1,971 kes demam denggi di Pahang sehingga 26 Sept lalu, meningkat sebanyak 811 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2014.

“Kes kematian pula sebanyak enam kes berbanding empat kematian pada tempoh sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Zainal Ariffin memaklumkan jabatan kesihatan telah melakukan semburan kabus ke atas 1,142,753 premis dan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes terhadap 349,996 premis.

Sebanyak 136,890 premis telah dibubuh abate bagi pemusnahan jentik-jentik dan 330 aktiviti gotong-royong yang disertai 26,600 penduduk diadakan bagi mengawal kes demam denggi, katanya.

Selain itu, jabatan itu juga mengeluarkan 923 kompaun dengan nilai RM461,500 dan 556 Notis Seksyen 8 bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes.

“Masyarakat diminta bertanggungjawab memastikan kawasan persekitaran rumah dan tempat-tempat awam bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk aedes dan segera mendapat rawatan jika mengalami demam kuat secara tiba-tiba disertai sakit kepala atau sakit badan dan sendi,” katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian