Mahkamah Persekutuan putuskan peruntukan undang-undang syariah Selangor sah

istana kehakiman

PUTRAJAYA, Isnin – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan adalah sah peruntukan undang-undang syariah negeri Selangor yang menetapkan adalah perbuatan jenayah bagi orang Islam menerbitkan dan mengedarkan buku agama yang bercanggah dengan undang-undang Islam.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana ia merupakan satu kesalahan dalam ajaran Islam.

Hakim Raus semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, menolak petisyen dikemukakan ZI Publications Sdn Bhd dan pengarahnya Mohd Ezra Mohd Zaid untuk mencabar kesahihan Seksyen 16 enakmen itu susulan Mohd Ezra, 32, didakwa di bawah seksyen itu di Mahkamah Syariah.

Berikutan keputusan itu, Mohd Ezra, yang merupakan anak bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim, perlu menghadapi pertuduhan di Mahkamah Syariah atas dakwaan menerbitkan buku bertajuk “Allah, Love and Liberty” karya penulis Kanada Irshad Manji yang dianggap bercanggah dengan hukum syarak.

Dalam penghakiman 16 muka surat, Hakim Raus berkata orang Islam di Malaysia bukan sahaja terikat dengan undang-undang am yang digubal oleh Parlimen tetapi juga undang-undang agama negeri yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri.

“Ini kerana Perlembagaan (Persekutuan) membenarkan badan perundangan negeri untuk menguatkuasakan dan mengubal kesalahan terhadap ajaran Islam. Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhan, jelas menunjukkan niat penggubal Pelembagaan untuk membolehkan orang Islam di negara ini turut terikat dengan undang-undang Islam itu sendiri,” katanya.

Hakim Raus berkata tujuan Dewan Undangan Negeri Selangor menggubal Seksyen 16 adalah untuk mengawal penerbitan bahan agama yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Ia juga langkah untuk melarang penyebaran sebarang kepercayaan dan ajaran salah dalam kalangan orang Islam, menerusi penerbitan mana-mana buku atau dokumen atau sebarang bentuk rekod yang mengandungi apa-apa yang bercanggah dengan undang-undang Islam,” katanya.

Katanya mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan para pempetisyen bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor tidak diberikan kuasa untuk menggubal Seksyen 16 kerana seksyen itu mengehadkan kebebasan bersuara yang telah dijamin kepada setiap warganegara dalam Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

ZI Publications dan Mohd Ezra, menerusi peguam bela masing-masing, dalam hujahan, berkata Dewan Undangan Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara dan meluahkan pandangan dengan menyatakan hanya Parlimen boleh menggubal undang-undang seumpama itu.

Hakim Raus berkata Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan tidak menjamin kebebasan bersuara dan meluahkan pandangan secara mutlak dan menurutnya Seksyen 16 tidak bercanggah dengan Perkara 10. — Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian