MARA belanja RM68 juta bantu usahawan bumiputera Pahang

Logo MARA

KUANTAN, Selasa — Majlis Amanah Rakyat (Mara) tahun ini telah membelanjakan kira-kira RM68 juta bagi membiayai 850 usahawan bumiputera dalam usaha memperkasakan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata pembiayaan itu sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu melihat perniagaan yang dijalankan oleh golongan bumiputera terus maju dan berdaya saing seiring dengan usahawan bangsa lain di negara ini.

“Mara tidak akan pernah berputus asa dalam membantu usahawan bumiputera untuk mereka terus maju dalam perniagaan yang dijalankan dan akan terus memberi apa sahaja bentuk bantuan sehingga usahawan ini berjaya dalam perniagaan mereka.

“Jika lebih ramai usahawan bumiputera yang berjaya, lebih ramai akan mendapat peluang pekerjaan dengan meraih pendapatan yang tinggi setiap bulan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Keusahawanan Rezeki Berkat, Pendapatan Meningkat yang dianjurkan oleh Mara di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Mara Negeri, Kamaruddin Awang.

Shahiruddin berkata, Mara jua telah menyediakan 544 lot perniagaan di seluruh Pahang kepada usahawan-usahawan bumiputera untuk mereka menjalankan apa-apa sahaja bentuk perniagaan.

“Bagi membantu para usahawan ini terus memperkasakan perniagaan mereka, sebanyak 10 program keusahawanan yang melibatkan 270 usahawan telah dijalankan oleh Mara tahun ini iaitu dua program Kursus Pembudayaan Usahawan, empat program Pengwujudan Usahawan dan empat program Peningkatan Keusahawanan.

“Saya percaya usahawan-usahawan yang telah berjaya ini sudah menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran sepanjang mengusahakan perniagaan mereka.

Mereka juga dalam masa sama boleh membantu usahawan-usahawan baharu dalam konteks berkongsi pengalaman lepas atau semasa memulakan perniagaan sehinggalah bergelar usahawan berjaya,” katanya.— Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian