Mukhriz nafi dakwaan Kedah bakal perkenal kod pakaian bagi wanita Islam

Mukhriz

ALOR SETAR, Selasa — Kerajaan negeri Kedah menafikan ia bercadang memperkenalkan peraturan berpakaian bagi wanita beragama Islam di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hari ini.

Menurutnya, Kedah dan Malaysia merupakan negara majmuk yang berbilang kaum dan mesej tersebar menerusi aplikasi WhatsApp tentang cadangan itu berkemungkinan merupakan usaha sabotaj program Discover Kedah tahun depan.

“Itu (cadangan) adalah tidak benar. Kita tidak berhasrat ke tahap sampai hendak menguatkuasa pakaian wanita di Kedah. Di Kedah kita memberi ruang dan tidak ada sampai ‘strict’ sangat.”

“Pada akhirnya, ia antara seseorang dengan tuhannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan “Exporters Forum” anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini. Mukhriz meminta semua pihak tidak risau tentang perkara ini kerana sehingga kini tiada cadangan mengenai kod pakaian wanita Islam di Kedah dikemukakan di peringkat kerajaan negeri.

Mukhriz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mengenai perkara itu semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai cadangan untuk melaksanakan peraturan berpakaian itu walaupun pada ketika ini mereka masih di peringkat perbincangan dengan Majlis Agama Negeri Kedah mengenainya.

Menteri Besar berkata, perkara mengenai cara berpakaian seseorang itu bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan peraturan, lebih-lebih di sebuah negeri dan negara yang majmuk serta pelbagai kaum.

Terdahulu ketika merasmikan “Exporters Forum” itu yang turut dihadiri Pengerusi Matrade Datuk Noraini Ahmad, beliau meminta lebih banyak syarikat-syarikat Kedah mendaftar dengan agensi itu.

Pada ketika ini menurutnya, hanya ada 369 syarikat-syarikat daripada Kedah yang berdaftar dengan Matrade dan usaha perlu dilakukan untuk menambah bilangan mereka kepada sekali ganda dalam tempoh terdekat.— Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian