“Tolong, Ibu ingin solat!”

1

Hari ini kami kembali semula ke hospital untuk praktikum perawatan kompleks. Aku ditempatkan di High Dependency Unit, wad pembedahan perempuan. Di unit ini hanya ada empat orang pesakit, dan semuanya bergantung kepada ventilator untuk menyokong pernafasan. Kelihatan beberapa orang ahli keluarga berpaut pada sisi katil, menahan mata yang mengantuk dengan wajah yang sembab. Nampak kesan-kesan tidak cukup tidur kerana menjaga orang tersayang.

“Rasheedan, awak bersama dengan kakak ni jaga mak cik katil 22. Pastikan awak belajar banyak-banyak daripada kakak ni,” kata ketua jururawat.

“Baik Madam,” balas aku.

Madam pergi sebentar untuk melihat keadaan rakan praktikum di wad sebelah. Tinggal aku bersama staf dan beberapa orang rakan seunit yang lain.

“Kita nak belajar apa dulu kak?” tanya aku.

Now 12 noon already, it’s the time for IV medication!” ujar kakak dengan semangat.

“Hurm, bagi ubat. Jom. Saya prepare, kakak supervise? Boleh?” minta aku.

“Mestila engkau yang kena buat. Ok. Kau buat dulu, nanti aku check. Tahu tak ubat apa?,” balasnya.

“Tahu. Okay. Okay.”

Aku pergi ke troli ubat-ubatan. Memeriksa ubat yang perlu.
Setelah itu aku menghampiri mak cik tersebut. Matanya masih terbuka. Masih sedar orang di sekeliling. Rantai tasbih berselit di kepala katil. Naskah buku Yassin tegak di tepi tingkap. Anaknya terjaga bila aku menghampiri ibunya. Dia terus mengeluarkan getah rambut dan mengikat seadanya.

“Ibu kakak ke?” tanya aku.

“Ye, ibu saya,” balas wanita yang berusia lingkungan 30-an.

“Saya nak beri ubat sedikit, ubat bunuh kuman,” ujar aku padanya.

Aku terus mengambil kidney dish yang mengandungi kapas alkohol, picagari berisi ubat, dan picagari air Normal Saline. Saya membawanya ke katil mak cik tersebut. Nampak nafasnya turun naik seiring dengan mesin. Urat-urat darah di tangannya pun banyak kesan cucukan jarum. Simpati melihat mak cik ini.

“Mak cik, ubat ni pedih sedikit, saya akan bagi perlahan-lahan. Kalua mak cik tak tahan, bagi tahu ya.”

Kami diajar untuk sentiasa berkomunikasi dengan pesakit walaupun mereka tidak sedarkan diri. Ini adalah nilai ihsan yang ditanam untuk melayan pesakit sama seperti mereka masih hidup.

“Saya masukkan ubat ye mak cik. Bismillah”

Tangan mak cik terangkat-angkat apabila saya mula menekan plunger ubat. Pedih agaknya.

“Tahan sikit ye mak cik.”

Saya memasukkan ubat antibiotik perlahan-lahan. Sehingga habis. Mak cik tetap terlantar tanpa suara di atas katil. Selesai memberi ubat tersebut, saya berborak sebentar dengan anaknya.

“Dah kak, ubat tadi untuk bunuh kuman, mak cik rasa sedikit pedih bila ubat mengalir masuk.”

“Oh, ye dik, saya tahu. Nurse selalu bagi tahu tentang tu bila mereka nak bagi ubat. Terima kasih eh.”

“Jaga seorang ke hari ini kak?”

“Ye. Adik beradik lain semua dah balik. Sekarang turn akak untuk jaga.”

Dia membalas dengan suara yang letih. Aku memandang jam dinding lantas mencatatkan pukul berapa aku telah memberi ubat kepada mak cik. 12.45 petang. Eh, dah masuk waktu Zuhur. Spontan aku terus bertanya kepada kakak tadi.

“Dah zuhur kak, akak nak pergi solat dulu ke?”

“Kejap lagi tunggu suami kakak datang untuk take turn.”

“Baik. Nak saya tolong ambilkan air wudhu untuk mak cik? Nanti saya letak dalam besen.”

“Eh, mak cik boleh solat ke? Macam mana dia nak solat? Bangun pun tak larat,” ujarnya terkejut kehairanan.

“Ye kak, selagi mak cik masih sedarkan diri, mak cik masih kena solat,” balas aku.

“Betul ke? Selama mak cik sakit, mak cik tak pernah solat. Kesian saya tengok, dah la sakit, tak sampai hati nak paksa dia untuk solat juga.

“Eh bukan begitu kak. Islam ni agama yang tak memberatkan umatnya. Dalam kes mak cik, ada keringanannya berdasarkan kemampuannya. Solat ikut upaya mak cik je kak,” katanya.

“Upaya macam mana dik?” soalnya.

“Mak cik mampu gerak mata lagi kan?” tanya aku.

“Gerak mata tu mampu lah. Nak duduk angkat bagai, memang dia tak larat.”

“Kalau macam tu, mak cik masih mampu untuk solat. Solat dengan isyarat mata.”

“Sah ke dik?”

“InshaAllah sah kak. Nanti saya ambilkan air wudhu untuk akak wudhu’kan mak cik.”

Aku terus mengambil besen biru di troli bed bath dan mengisikannya dengan air suam. Lalu aku berikannya kepada kakak tadi. Aku keluar dari unit tersebut selepas menjelaskan kaedah solat dengan isyarat mata. Aku pun keluar dan menarik langsir pembahagi.

Alhamdulillah, seorang pesakit telah terselamat dari dosa meninggalkan solat. Aku segera berjumpa kakak penyelia  meminta izin untuk pergi solat di surau wad.

Dalam perjalanan ke surau, aku berselisih dengan madam. Mungkin dia telah selesai urusan dengan rakanku di wad sebelah.

“Nak ke mana Rasheedan?”

“Surau, saya solat sekejap ya.”

“Okay. Siapa jaga pesakit kamu?”

“Tadi dia tengah solat. Anak dia jaga. Saya dah bagitahu kakak nurse yang saya keluar sekejap untuk solat. Dia akan tengokkan mak cik tu sekejap.”

“Okay, baik. Pergilah solat. Doakan untuk saya juga.”

Madam bukan Islam. Tetapi dia sangat menghormati orang Islam. Aku bergegas ke surau dan menunaikan solatku. Di hujung solat, aku sempat berdoa semoga mak cik tadi sembuh dan diberikan kesihatan yang baik. Aku terbayangkan mak cik itu ialah ibuku. Kedut-kedut di mukanya seolah-olah kedut di muka ibuku. Tak jauh beza umurnya mungkin.
***

Hampir di penghujung jam untuk praktikum hari ini. Hah. Terasa puas dalam belajar banyak prosedur.  Aku bersiap sedia untuk balik ke kolej. Tak sabar nak merebahkan jasadku setelah enam jam berdiri dan bekerja.

Tiba-tiba, jeritan terdengar di katil 22.

Nurse, nurse! Boleh tengokkan sini sekejap? Ibu saya tak bergerak langsung.

Darahku menderau. Mak cik tadi. Anaknya resah. Kakak-kakak jururawat segera melihat keadaan makcik.

Call doktor in-charge!” kakak jururawat menyuruh rakannya menghubungi Dr Sharifah.

Dr Sharifah di hujung wad memeriksa pesakit di katil lain. Dr Sharifah terdengar namana di panggil. Dia segera berlari. Aku hanya memerhati dengan cemas. Hendak membantu, tetapi apalah sangat pengetahuan dan kemahiranku. Baru tahun tiga. Inipun minggu pertama dalam kursus ini. Hatiku hiba. Kakak tadi sibuk menghubungi saudara mara dengan wajah yang cemas dan sedih. Dr Sharifah cuba untuk menyelamatkan mak cik, beberapa buah troli di sorong dekat dengan katil mak cik. Langsir pembahagi di tarik separuh. Kedengaran suara Dr Sharifah mengetuai gerakan kecemasan tersebut. Aku membatalkan niat untuk balik.

Setelah hampir setengah jam usaha menyelamatkan mak cik tadi, Dr Sharifah dan beberapa orang doktor yang lain berbincang dengan anaknya. Doktor menerangkan bahawa ibunya sudah tiada. Mereka telah mencuba yang terbaik, namun gagal untuk mengembalikan denyutan dan pernafasannya semula. Anaknya terduduk di kerusi. Dia mengenggam tasbih yang bersimpul di kepala tadi. Esak tangisnya kedengaran walaupun cuba disembunyikan.

“Ibu, ibu, ibu. Cepatnya ibu pergi tinggalkan Kina.”

Dia menangis menggenggam surah Yassin. Kepalanya berbalut selendang hitam, hanya separuh. Dalam masa beberapa minit, unit itu dipenuhi saudara mara. Aku masih enggan balik, walaupun beg sudah siap di belakang. Aku ingin mengucapkan takziah kepada kakak tadi, tapi aku tak berani kerana keadaannya yang sangat sedih. Aku menghampiri seorang lelaki, mukanya hampir serupa dengan kakak tadi. Adiknya mungkin.

“Encik, sabar ya. Tengah hari tadi saya sempat tengok-tengokkan mak cik. Tadi mak cik ok, sempat sembahyang zuhur. Tak sangka pulak mak cik dah tiada.” Ujar saya penuh simpati.

“Mak cik sembahyang?” anaknya kehairanan.

“Ya. Solat dengan mata.” Saya menjawab.

Lelaki yang berusia 30-an itu memandang wajah kakaknya. Kakaknya mengangguk. Lelaki itu melihat aku semula.

“Terima kasih. Selama ini kami jaga ibu, tak pernah lagi ibu solat.” Nadanya sedikit kesal.

“Tak apa encik. Mudah-mudahan Allah menerima mak cik dan mengampunkan segala dosanya,” aku cuba menenangkan lelaki tersebut.

Aku beredar dan berlalu keluar dari wad perlahan-lahan, menuju ke muka pintu. Muhasabah diri. Sesungguhnya Allah telah mempamerkan sebuah drama kehidupan yang nyata di depan mata.  Solat yang terakhir.

Oleh
Rasheedan bin Ellin
Ketua Biro Dakwah Isma Samarahan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian