Azimah hubungi rakan tanya cara kahwin warga Arab
KUALA LUMPUR, Isnin — Ibu tunggal Nor Azimah Ibrahim (gambar) yang hilang di Madinah, pernah menghubungi kenalannya di Tanah Suci untuk mengetahui proses perkahwinan dengan warga Arab Saudi atau rakyat Malaysia yang menetap di sana.
Abdul Aziz Abas, yang kini menetap di Madinah mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Islam Madinah, berkata Nor Azimah menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp bertanyakan perkara berkenaan, beberapa hari sebelum dia dilaporkan hilang.
“Bila dia yang bercakap begitu, saya menjadi takut…sebab, nanti susah pula saya nak kena uruskan kahwin…apa semua. Saya sibuk dengan belajar, peperiksaan, buat tesis,” katanya ketika dihubungi Bernama TV di sini, semalam.
Abdul Aziz berkata Nor Azimah, 31, adalah kenalannya ketika menuntut di sebuah kolej di Malaysia.
Abdul Aziz berkata, beliau kemudian meminta Nor Azimah menghubungi isterinya untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung proses perkahwinan itu.
“Saya kata pada Azimah untuk urusan lanjut hubungi isteri saya,” katanya sambil menambah Nor Azimah kemudian tidak lagi menghubungi beliau atau isterinya selepas itu.
Abdul Aziz berkata, dia juga telah dipanggil memberi keterangan oleh pihak berkuasa Arab Saudi susulan kehilangan Nor Azimah.
Nor Azimah yang mempunyai seorang anak perempuan dan berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor, berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya untuk mengerjakan umrah pada 11 Dis lepas.
Ibu mangsa, Zamhani Zakaria, 52, sebelum ini berkata kali terakhir dia bersama anaknya itu ialah pada 19 Disember lalu.
Zamhani yang tiba di tanah air pada 23 Dis lepas, berkata mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke Malaysia pada 22 Disember lalu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan