Remaja lelaki ditahan disyaki terlibat IS di Kedah

KHALID ABU BAKAR / WAWANCARA KHAS HARI POLIS KE 208

KUALA LUMPUR, Selasa — Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis di sebuah pasar raya di Sungai Petani, Kedah kerana disyaki terlibat dalam kumpulan militan Daesh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, remaja berkenaan ditahan semalam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kedah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012 dan kini dihantar ke Cawangan Khas Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Khalid berkata, polis bertindak menahan remaja berkenaan yang berpakaian serba hitam dengan mukanya ditutup “ala-ala IS” selepas dia didapati cuba menakut-nakutkan seorang wanita dengan memegang pisau di pasar raya berkenaan.

“Remaja berkenaan merupakan pelajar di sebuah sekolah agama di Sungai Petani dan didapati terpengaruh dengan dakyah IS di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati remaja itu tidak berniat mencederakan wanita berkenaan,” katanya, kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata insiden sedemikian amat merisaukan dan menunjukkan bahawa pengaruh militan Daesh bukan satu mainan wayang dan sebagainya.

“Saya berharap rakyat Malaysia sedar bahawa ia satu ancaman yang benar dan perlu berhati-hati. Ancaman IS ini memang wujud dan memerlukan perhatian semua pihak dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Khalid dalam ucapannya berkata pihaknya telah mengambil tindakan dan berjaya menahan seramai 82 anasir Daesh sepanjang tahun lepas, dengan 73 daripadanya adalah rakyat Malaysia.

“Angka ini jelas menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2014 yang menyaksikan 59 tangkapan dilakukan dengan 47 daripadanya adalah warga tempatan.

“Peningkatan tangkapan ini menunjukkan elemen IS semakin mendapat tempat di kalangan golongan pesimpati dalam masyarakat kita dan polis akan terus melipatgandakan usaha untuk memastikan elemen ini tidak kekal menapak dan berkembang di Malaysia,” katanya. — Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?