Pelajar Iran antara empat ditahan sebar ajaran bukan Islam
MELAKA, Khamis – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan empat individu, termasuk seorang wanita kerana disyaki cuba menyebarkan buku dan dakyah ajaran bukan Islam di Taman Kebaya, Paya Datok, Alor Gajah, di sini, kelmarin.
Ketua Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, mereka yang ditahan jam 4.30 petang itu terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 26 tahun, seorang wanita tempatan berusia 43 tahun serta seorang penuntut kolej swasta warga Iran berusia 20 tahun.
Berdasarkan siasatan awal, katanya, semua individu berkenaan direkrut sebagai mubaligh di sebuah pusat rawatan kesihatan di Tampin, Negeri Sembilan dan bergerak secara berkumpulan bagi menyebarkan ajaran bukan Islam.
“Kita menjumpai 40 buku berkaitan dakyah ajaran bukan Islam dalam tiga bahasa termasuk bahasa Malaysia yang menggunakan kalimah Allah dalam kereta yang dinaiki keempat-empat individu itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Katanya, buku bertajuk ‘Pengharapan Agung’ itu dikhuatiri akan memesongkan akidah umat Islam terutama mereka yang tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh khususnya dalam kalangan remaja.
Semua mereka dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 dan 8, Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam 1988.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan