Polis sedia waran tangkap mualaf ingkar arahan Mahkamah Tinggi

khalidd

KUCING, Jumaat – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan melaksanakan arahan Mahkamah Persekutuan untuk menahan mualaf Muhammad Ridhuan Abdullah kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Beliau berkata, sebelum ini polis tidak dapat melaksanakan arahan untuk menahan mualaf itu kerana konflik dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah serta Mahkamah Tinggi.

Katanya, memandangkan Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tertinggi dalam sistem keadilan negara, telah membuat keputusan, polis akan melaksanakan arahan itu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan rayuan guru tadika M Indira Gandhi untuk melaksanakan semula perintah mandamus dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengarahkan Ketua Polis Negara melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Ridhuan.

Beliau mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi Hakim Mahkamah Tinggi itu memantau pelaksanaan waran komital terhadap Muhammad Ridhuan.

Hakim Raus berkata, Muhammad Ridhuan sengaja mengingkari perintah mahkamah itu dan dia masih enggan menyerahkan Prasana Diksa yang berumur lapan tahun kepada Indira Gandhi.

Beliau berkata, Muhammad Ridhuan telah mempertahankan tindakannya itu ketika didapati bersalah mengingkari perintah penjagaan anak itu dan merayu ke Mahkamah Persekutuan, dan menurutnya apabila rayuannya ditolak dia menghilangkan diri bersama-sama Prasana Diksa.

Hakim Raus, bagaimanapun berkata, Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya mengeluarkan perintah mandamus untuk memaksa Ketua Polis Negara mencari Muhammad Ridhuan dan mengambil anak itu dan menyerahkannya kepada ibu anak perempuan itu.

Turut bersidang bersama-sama Hakim Raus ialah tiga hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azahar Mohamed, Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Aziah Ali berikutan Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong telah bersara.

Rayuan itu didengar oleh panel berkenaan pada Ogos tahun lepas dan mereka menangguhkan keputusan.

Pada 17 Disember 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh dan memutuskan KPN tidak patut diarah untuk mendapatkan Prasana Diksa, atau menahan bapanya.

Dalam penghakiman majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan itu, pengerusi panel Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan Ketua Polis Negara mempunyai budi bicara untuk tidak menguatkusakan perintah mandamus kerana ia bukan kepentingan awam.

Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September 2009, memberikan hak penjagaan tiga anak pasangan itu – Tevin Darsiny, 19, Karan Dinish, 18 dan Prasana Diksa – kepada Muhammad Ridhuan yang memeluk Islam dan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 11 Mac 2010, memberikan hak penjagaan anak kepada Indira Gandhi dengan bapa diberikan hak lawatan sekali seminggu.

Pada 30 Mei 2014, Muhammad Ridhuan dikenakan tindakan menghina mahkamah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh dan turut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas dia gagal mematuhi perintah untuk menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

Indira Gandhi turut mendapat perintah daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mencari Muhammad Ridhuan.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?