Wanita hamil mangsa kekejaman Zionis Israel
JERUSALEM, Sabtu – Sumber perubatan Palestin mengesahkan wanita Palestin yang ditembak mati oleh askar rejim Zionis Israel, Rabu lalu, tidak memakai tali pinggang mengandungi bom, sebaliknya Maram Saleh Abu Ismael, 24, ketika itu hamil lima bulan anak ketiga.
Kesilapannya adalah berjalan di laluan yang salah dan tidak memahami bahasa Hebrew, lapor media tempatan.
Polis dan askar Israel seperti biasa menggunakan alasan awal, mangsa ‘membawa pisau’ sebelum mengubahnya kepada ‘memakai tali pinggang bom’.
Maram, ibu kepada dua kanak-kanak, Sarah, 6 tahun dan Remas, 4 tahun, bersama adiknya Ibrahim Taha, 16, syahid ketika kedua-duanya sedang berjalan menuju bandar ini selepas memperoleh permit memasuki Jerusalem.
Bertentangan dengan dakwaan pertama bahawa Maram ‘membawa pisau’ dan tuduhan kedua mangsa ‘memakai tali pinggang bom’, seorang saksi memberitahu bahawa kedua-duanya berjalan di laluan salah iaitu yang dikhaskan kepada kenderaan ketika menuju ke terminal Qalandia.
Askar yang bertugas di situ mula menjerit dalam bahasa Hebrew yang tidak difahami oleh Maram dan adiknya. Ketika wanita itu berdiam diri dan ketakutan, askar mula melepaskan tembakan ke arahnya.
Ibrahim yang cuba membantu kakaknya turut ditembak. Kedua-duanya dibiarkan sehingga meninggal dunia tanpa diberi apa-apa bantuan.
Seorang saksi dari Jerusalem, Ahmad Taha berkata, selepas menembak kedua-duanya, askar rejim Israel berundur beberapa meter sebelum melepaskan beberapa das tembakan lagi.
“Tidak ada cubaan untuk menikam mana-mana anggota keselamatan dan askar rejim Israel tiada alasan untuk menembak kedua-duanya.
“Askar Israel kemudian meletakkan dua bilah pisau berhampiran jenazah wanita hamil itu dan kemudian polis menyiarkan gambar yang menunjukkan ada tiga bilah pisau,” kata Ahmad.
Dua beradik itu berasal dari kampung Qotna di barat laut Jerusalem, tetapi Maram tinggal bersama suami dan dua anaknya di Beit Surik, tidak jauh dari situ. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan