Calon BN PRK Kuala Kangsar tak sertai kempen kerana dalam edah

bnkualaKUALA KANGSAR, Ahad – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, tidak dapat menyertai kempen yang dijadual bermula 5 Jun ini, kerana masih dalam tempoh edah empat bulan 10 hari sebagaimana yang ditetapkan syarak apabila seseorang wanita kematian suami.

Mastura, 55, isteri bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terbunuh dalam nahas helikopter bersama Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu, diumumkan sebagai calon BN oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Tempoh syarak ini wajib saya patuhi dan saya amat mengharapkan kefahaman seluruh jentera parti khususnya di peringkat cawangan dan pusat daerah mengundi akan kedudukan saya ini.

“Jika menurut amalan parti dan gerak kerja pilihan raya, selaku orang yang dinamakan sebagai calon, saya seharusnya berada bersama seluruh jentera parti dan masyarakat untuk berkempen.

“Insya-Allah, sekiranya saya diberi tanggungjawab sebagai Anggota Parlimen, saya akan laksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin sebagai kesinambungan kepada apa yang telah dirintis oleh arwah suami saya,” katanya menerusi tayangan video selepas pengumuman calon dan pelancaran jentera BN, semalam.

Beliau adalah graduan undang-undang Lincoln’s Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai peguam selama enam tahun.

Ibu kepada empat anak itu juga seorang yang bergiat dalam dunia politik dan menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan berehat dan menumpukan kepada keluarganya serta arwah suaminya.

Setakat ini, Mastura akan berdepan dengan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, seorang doktor perubatan, pada pengundian 18 Jun ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 5 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar 32,632 pengundi biasa, pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian