Calon boleh tidak hadir pada hari penamaan: SPR

Datuk-Seri-Mohd-Hashim-Abdullah1
KUALA LUMPUR, Selasa — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan dakwaan bahawa pencalonan akan menjadi tidak sah sekiranya calon tidak hadir pada hari penamaan calon, adalah tidak tepat.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, di bawah Peraturan 6 (2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, borang pencalonan boleh dikemukakan oleh calon dan pencadang dan penyokongnya, atau oleh mana-mana dua, atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Berdasarkan peraturan ini amat jelas tiada halangan dari segi undang-undang sekiranya borang penamaan calon tidak dikemukakan sendiri oleh calon tersebut tetapi boleh juga dikemukakan oleh salah seorang, sama ada pencadang atau penyokong beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, di bawah peraturan itu, kertas penamaan calon mesti diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di tempat penamaan antara 9 hingga 10 pagi pada hari tersebut.

“Sama ada sah atau tidak borang penamaan tersebut bagi menentukan kelayakan bakal calon masih tertakluk kepada syarat-syarat yang sedia ada bagi kelayakan seseorang calon sepertimana dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan bertulis yang berkaitan Pilihan Raya yang berkuatkuasa buat masa ini,” katanya.

Isu timbul apabila terdapat pihak yang mendakwa pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar tidak sah sekiranya beliau tidak hadir pada hari penamaan calon 5 Jun ini.

PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini, setelah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang juga Anggota Parlimen kawasan itu, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.  — Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?