Muhamad Wanndy anggota IS rancang serang di Malaysia

Gambar: Utusan

Gambar: Utusan

KUALA LUMPUR , Rabu – Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, rakyat Malaysia yang menganggotai militant IS di Syria dipercayai sedang merancang untuk melakukan beberapa serangan bunuh diri di negara ini, lapor Utusan yang memetik sumber keselamatan.

Dikenali juga sebagai Abu Hamzah Al Fateh, sumber berkenaan dilaporkan berkata, lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan sedang mencari rekrut baharu bagi menjalankan rancangan jahatnya itu.

Sumber itu dipetik sebagai berkata, Muhamad Wanndy sanggup merancang serangan itu kerana dipercayai tertekan, selepas pihak berkuasa menangkap ratusan penyokong kumpulan terbabit yang juga penyumbang dana untuk IS dan paling penting untuk kehidupannya sekeluarga di Syria.

Katanya, pengikut fahaman Salafi Jihadi itu sebelum ini dipercayai pernah beberapa kali merancang untuk melakukan serangan di negara ini, tetapi berjaya dipatahkan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.

“Bagi merealisasikan cita-cita itu, Muhamad Wanndy tidak malu berkawan rapat dengan anggota kumpulan IS Indonesia, Muhamad Baharun Naim Anggih Tamtomo yang menjadi perancang utama bagi serangan berani mati di Jakarta pada 14 Januari lalu.

“Semua itu sebenarnya dilakukan Muhamad Wanndy untuk menunjuk-nunjuk kerana dia bercita-cita menjadi ketua kumpulan IS di Malaysia.

“Sedangkan di Syria, dia hanyalah anggota bawahan yang mewakili kumpulan kecil rakyat Malaysia di bawah pimpinan Abu Mohamad Al Adnani @ Al Adnani warga Syria yang merupakan pemimpin kanan IS,” kata sumber itu kepada akhbar berkenaan.

Sumber itu turut menjelaskan, berdasarkan siasatan latar belakangnya, perkahwinan Muhamad Wanndy tidak direstui dan dia membawa isteri serta seorang anak ke Syria tanpa pengetahuan keluarganya pada 26 Januari tahun lalu.

“Dia juga suka mencabar orang lain dengan kata-kata kesat selain memuat naik status di laman sosial Facebook untuk mengugut membunuh Perdana Menteri dan kepemimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini,” katanya.

Semalam akhbar berkenaan mendedahkan cara Muhamad Wanndy mempengaruhi sebilangan rakyat Malaysia yang taksub dengan konsep ‘jihad’ dengan memberikan dana bagi tujuan menegakkan agama selain membersihkan dosa.

Namun semua pengikutnya tertipu apabila dana yang disalurkan itu sebenarnya digunakan untuk kegunaan peribadinya bagi membayar hutangnya dan isteri selepas hidup daif di negara bergolak itu.

Pada masa sama katanya, perbuatan yang dilakukan oleh Muhamad Wanndy itu langsung tidak menunjukkan akhlak sebagai umat Islam kerana terlalu taksub dengan perjuangan hingga menghalalkan apa juga cara bagi mencapai matlamatnya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian