Program 3B BookWalk di Dataran Merdeka kumpul 500 buku

Pelajar- pelajar daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana bergambar bersama pada Program 'Baca Bersama BERNAMA (3B) Book Walk' Sempena Karnival Jom Ke Perpustakaan Kuala Lumpur di Dataran Merdeka hari ini. --fotoBERNAMA

BERNAMA

KUALA LUMPUR, Ahad – Sejumlah kira-kira 500 buku disumbangkan peserta program Baca Bersama Bernama (3B) BookWalk yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.

Ia antara acara di bawah Kempen 3B bagi menggalakkan masyarakat memanfaatkan buku terpakai dan buku baharu disumbangkan untuk kegunaan orang lain.

Pengerusi Kempen 3B, Mohd Helmi Ibrahim berkata program berkenaan tidak berakhir setakat hari itu, kerana sumbangan masih boleh dilakukan dengan mengunjungi Wisma Bernama di Jalan Tun Razak atau rakan strategik lain.

“Program BookWalk ini ialah acara peringkat awal. Selepas ini, kita akan mengakarumbikan program ini, mungkin kita akan pergi ke peringkat sekolah, kampung, badan bukan kerajaan (NGO) supaya segenap lapisan masyarakat boleh menyumbang buku, itu matlamat kita melalui Kempen 3B,” katanya.

Beliau ditemui Bernama pada akhir acara berkenaan yang menyaksikan peserta berjalan sejauh 2 kilometer sambil membawa buku mengelilingi Dataran Merdeka sebelum memasukkan bahan bacaan itu ke dalam Bank Buku 3B yang disediakan.

Program dianjurkan sempena Karnival Jom Ke Perpustakaan Kuala Lumpur @ Dataran Merdeka selama dua hari bermula semalam.

Mohd Helmi berkata buku yang dikumpulkan di bawah Kempen 3B akan disumbang kepada tiga kelompok utama iaitu golongan asnaf, Orang Asli dan  pelarian. 

Selain Bernama, orang ramai boleh menyumbang buku kepada rakan strategik kempen itu seperti Perpustakaan Kuala Lumpur, Perpustakaan Negara, Pusat Sumber Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Perpustakaan Bank Rakyat.

Mohd Helmi berkata jawatankuasa Kempen 3B membenarkan mana-mana pihak menggunakan nama 3B bagi penganjuran program serupa.

“Program 3B bukan milik kita. Sesiapa yang nak buat program gunakan nama 3B kita benarkan dan bantu. Hasrat kita ialah mahu menyuburkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian