Tiga kerabat diraja Kuwait dipenjara kerana hina Raja
KUWAIT, Selasa – Tiga ahli keluarga pemerintah Al-Sabah dan empat yang lain dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah kerana menghina Raja dan badan kehakiman menerusi internet.
Mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas tiga kerabat diraja dan dua yang lain manakala seorang lelaki yang lainnya selama setahun dan 10 tahun kepada pesalah seterusnya yang telah dibicarakan semasa ketiadaannya.
Mereka didakwa menggunakan Whatsapp dan Twitter untuk menghina Raja itu dan menyiarkan berita palsu menuduh hakim menerima rasuah.
Kerabat Diraja yang disabit kesalahan termasuk Sheikh Athbi Al Fahad Al Sabah adalah merupakan anak saudara Raja dan bekas ketua polis perkhidmatan rahsia.
Beliau juga adalah adik kepada ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Sheikh Ahmad Al Fahad Al Sabah.
Turut disabitkan kesalahan adalah Sheikh Khalifa Ali Al Sabah, yang merupakan seorang editor Al Watannewspaper dan televisyen yang ditutup oleh kerajaan kerana melanggar peraturan kewangan korporat dalam keputusan yang disahkan oleh mahkamah.
Ini bukan kali pertama anggota keluarga pemerintah telah didakwa atas kenyataan sensitif.
Sheikh Ahmad Al Fahad telah diberikan hukuman penjara dan denda pada Disember 2015 kerana memetik kenyataan oleh Raja tanpa kebenaran.
Di Kuwait, pengamal undang-undang dan pengulas media sememangnya sering menyerang kerajaan dan anggota kanan keluarga pemerintah mengenai dasar.
Namun begitu, Raja adalah individu yang mempunyai kuasa memberi kata putus dalam hal-hal politik dan apa-apa perbuatan mengkritik beliau adalah haram. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan